KUALA LUMPUR – Al Ansar IBS (Al Ansar) merupakan satu-satunya syarikat Malaysia yang dipilih untuk terlibat dalam projek pembinaan rumah untuk mangsa gempa bumi di Lombok, Indonesia.
Pada bulan Ogos 2018, Lombok telah dilanda gempa bumi sehingga menyebabkan hampir semua kediaman penduduknyahancur dan menyembah bumi sehingga memaksa mangsa menumpang tinggal di dalam pondok yang dibina hasil daripada serpihan rumah asal dan juga di khemah sementara.
Pengerusi Eksekutif Al Ansar, Datuk Seri Muhamad Khanafi Husin berkata, buat permulaan syarikat akan membangunkan 3,000 buah rumah di daerah berkenaan dengan anggaran kos sebanyak RM15,000 hingga RM17,000 sebuah.
Menurutnya, pemilihan Al Ansar untuk terlibat dalam projek pembinaan tersebut adalah berdasarkan kejayaan syarikat mengemukakan cadangan model rumah tahan gempa sehingga bacaan sembilan skala ritcher yang dikenali sebagai Rumah Instant Tahan Gempa (Rita).
Projek Rita telah mendapat sokongan daripada Fakulti Seni Bina Perancangan, Universiti Teknologi Mara, kampus Seri Iskandar, Perak serta Kementerian Riset Teknologi dan Pendidikan Tinggi Universiti Mataram, Indonesia.
Rumah contoh syarikat telah berjaya menjalani pemeriksaan serta ujian ketahanan rumah terhadap gempa bumi.
“Struktur rumahnya kukuh kerana ia dibangunkan dengan konsep spring yang dipasang pada tiang utama rumah yang mana apabila berlaku gempa.
“Spring itu dapat membantu mengurangkan risiko gempa dan tidak akan merosakkan rumah.
“Mungkin akan berlaku kerosakan pada struktur luaran rumah sahaja dan peluang untuk dibaiki masih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi temubual bersama media di pejabatnya di Kajang, Selangor baru-baru ini.
Al Ansar telah terlibat dalam projek hartanah sejak 20 tahun lalu dan kini memberi tumpuan dalam bidang pembinaan rumah yang menggunakan inovasi Sistem Binaan Berindustri (IBS).











