Projek solar: Rosmah didakwa lagi - Utusan Malaysia

Projek solar: Rosmah didakwa lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 10 April – Datin Seri Rosmah Mansor dihadapkan sekali lagi ke Mahkamah Sesyen di sini pagi ini atas satu pertuduhan menerima suapan RM5 juta berhubung projek bersepadu sistem solar sekolah-sekolah luar bandar di Sarawak, tiga tahun lalu.

Isteri bekas Perdana Menteri itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya selesai dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Ini merupakan kali kedua Rosmah didakwa berhubung penyelewengan projek solar berkenaan dengan kali pertama adalah pada 15 November tahun lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mengikut pertuduhan, Rosmah, 68, didakwa menerima suatu suapan untuk iaitu wang tunai berjumlah RM5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn. Bhd., Saidi Abang Samsudin, 60, melalui Rizal Mansor.

Wang berkenaan adalah sebagai upah kerana telah membantu syarikat berkenaan mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan dan Operasi Gense/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di No. 11, Jalan Laggak Duta, Taman Duta, di sini pada 20 Disember 2016.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi.

Pada 15 November tahun lalu, Rosmah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta berhubung projek sama. – UTUSAN ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini