SANDAKAN – Proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan akan bermula 9 pagi ini di Dewan Aktiviti Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Tiong Hua di sini.
Hujan renyai-renyai tidak menghalang kehadiran penyokong parti yang bertanding untuk berkumpul sebelum berarak ke pusat penamaan calon.
Penyokong DAP berkumpul di BDC Light Industrial manakala penyokong Parti Bersatu Sabah (PBS) berhimpun di Bandar Maju, kedua-dua tempat berkenaan berdekatan dengan pusat penamaan calon.
Sementara itu, beberapa laluan menuju ke SMJK Tiong Hua ditutup dan dikawal Polis Diraja Malaysia (PDRM) seawal 6 pagi tadi.
Calon-calon mempunyai tempoh sejam sehingga pukul 10 pagi ini untuk mengemukakan borang pencalonan masing-masing sebelum Pegawai Pengurus PRK Sandakan Mohd Hamsan Awang Supain mengumumkan nama calon yang layak bertanding pada pukul 11 pagi. – Bernama











