REMBAU – Calon Pakatan Harapan (PH), Dr. S. Streram mendakwa beliau sangat menyayangi komuniti Melayu dan akan melakukan apa sahaja untuk membantu mereka.
Pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga pakar bius itu malah mendakwa komuniti Melayu adalah sebahagian daripada keluarganya dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.
“Mesej saya kepada komuniti Melayu saya sayangkan anda semua. Mereka adalah keluarga saya di DUN Rantau.
“Mereka sebahagian daripada keluarga besar pelbagai kaum yang kami promosikan,” katanya ketika ditemui pemberita semasa berkempen di Kampung Sega, Rantau dekat sini hari ini.
Streram berkata, beliau tidak pernah meminggirkan orang Melayu di Rantau sepanjang beberapa tahun menjadi Penyelaras DUN PH di Rantau.
Katanya, beliau menyayangi semua orang Melayu yang datang meminta bantuan daripadanya dan berusaha membantu mereka.
Dalam pada itu, katanya, beliau yakin kehadiran Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam kempennya akan dapat menarik sokongan pengundi khususnya kaum Melayu.
“Saya dimaklumkan Perdana Menteri akan datang. Saya yakin dia akan turun (berkempen). Mesti ada impak khususnya ke atas pengundi Melayu. Pengundi atas pagar sokong saya,” katanya.
Dalam pada itu, Streram membalas sindiran Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak beliau sebagai pakar bius akan menyebabkan masyarakat Rantau ‘tidur’ jika PH menang berbanding calon Barisan Nasional (BN) yang berpengalaman dalam mentadbir kerajaan.
“Mungkin Najib tak faham apa pekerjaan pakar bius. Kita tak sengaja bagi orang tidur. Kita nak ‘tidurkan’ orang macam Najib,” balasnya. – K! ONLINE











