REMBAU – Pengundi muda diminta tidak terpedaya dengan permainan propaganda Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau kali ini.
Presiden UMNO yang sedang bercuti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, golongan muda perlu membuktikan mereka telah sedar dengan mengundi calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan pada 13 April ini.
“Tok Mat (Mohamad) merupakan pemimpin yang baik dan mesti menang dalam PRK DUN Rantau kali ini.
“Pengundi muda sama ada yang tinggal di luar atau di DUN ini mesti sedar. Dalam pilihan raya umum lalu bertubi-tubi fitnah dilontarkan hingga menyebabkan mereka terpedaya,” katanya semasa berkempen di Taman Angsamas, Rantau dekat sini malam tadi.
Ahmad Zahid berkata, beliau malah percaya sekiranya ada PRK atau pilihan raya negeri di mana-mana lokasi ketika ini sudah tentu golongan muda akan menolak PH.
Kata beliau, BN kini berasa yakin golongan muda akan bersama BN jika kerajaan PH meneruskan usaha menurunkan usia mengundi dari 21 kepada 18 tahun.
Justeru, beliau meminta jentera parti dan pengundi di Rantau supaya istiqamah sehingga hari pengundian bagi memastikan kemenangan Mohamad.
Beliau turut menyifatkan PRK kali ini sebagai maruah orang Rantau dan kemenangan BN dijangka membawa perubahan besar kepada senario politik tanah air dalam tempoh terdekat. – K! ONLINE









