REMBAU – Calon Bebas, R. Malar berjanji akan membantu syarikat lori besi buruk di Rantau menjalankan aktiviti mereka dengan lebih teratur, efisien dan sempurna jika beliau menang Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada 13 April ini.
Suri rumah dan juga bekas penyampai radio berbahasa Melayu di Toronto, Kanada itu mengemukakan janji berkenaan dalam manifesto PRK DUN Rantau berkaitan isu kitar semula yang beliau umumkan di Rantau malam tadi.
“Terdapat banyak lori besi buruk yang melaksanakan kerja memungut benda-benda di Rantau.
“Menggerakkan dan membantu syarikat lori besi buruk untuk melakukan kerja dengan lebih teratur, efisein dan sempurna amat diperlukan bagi menjayakan konsep kitar semula (khususnya di kawasan perkampungan),” kata manifesto berkenaan.
Manifesto itu secara keseluruhan menggariskan enam perkara yang akan menjadi tumpuan Malar sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat DUN Rantau termasuk mempraktikkan budaya kitar semula dalam kalangan masyarakat Rantau.
Perkara lain adalah melakukan baik pulih terhadap infrastruktur, mewujudkan peluang pekerjaan, mengadakan pengangkutan awam yang efisien, menangani masalah banjir dan membentuk jati diri masyarakat. – K! ONLINE











