Premis haram tawar seks serendah RM160 di Sri Petaling diserbu - Utusan Malaysia

Premis haram tawar seks serendah RM160 di Sri Petaling diserbu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 5 April – Sebuah premis yang beroperasi dengan menawarkan khidmat seks kepada pengunjung diserbu oleh anggota penguat kuasa dalam satu operasi Banteras Aktiviti Haram (Op BAH) di Jalan Raden Bagus, Desa Petaling, di sini malam tadi.

Premis yang didirikan secara haram dan tidak memiliki lesen itu didapati menjalankan kegiatan pelacuran membabitkan warga Thailand, Vietnam dan Indonesia berusia lingkungan 20-an hingga 30-an.

Timbalan Pengarah Kanan Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Osman Ismail berkata, modus operandi sindiket itu adalah memilih wanita dikehendaki pelanggan yang diletakkan di dalam bilik mengikut negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, pelanggan dikenakan bayaran pada kadar RM160 hingga RM200 dan diberi pilihan sama ada melakukan hubungan seks di lebih 20 bilik kecil disediakan atau membawa mereka keluar ke hotel berhampiran.

“Ketika pemeriksaan, premis ini turut mendirikan struktur tanpa kebenaran yang digunakan sebagai bilik melayan pelanggan menyebabkan tindakan meroboh terpaksa diambil serta-merta.

“Operasi ini membawa penahanan kepada sembilan wanita warga asing dan mereka yang ditahan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui selepas mengetuai Op BAH 2.0 siri ke-12 itu.

Menurut Osman, semasa serbuan dilakukan di lokasi berkenaan, pihaknya turut menemui sebuah penempatan haram mirip asrama yang dihuni oleh kira-kira 30 warga asing lelaki dan wanita yang terletak di tingkat atas bangunan komersial berkenaan.

“Pemeriksaan mendapati 20 lelaki warga Bangladesh berusia 30-an hingga 40-an itu tidak memiliki dokumen perjalanan diri yang sah.

“Mereka tinggal di rumah kedai ini secara menyewa dan bekerja sebagai buruh binaan di tapak pembinaan berhampiran,” katanya.

Op BAH yang bermula dari pukul 11 malam hingga 4 pagi itu turut disertai beberapa agensi lain antaranya Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Agensi Antidadah Kebangsaan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia dengan melibatkan kekuatan seramai 137 anggota. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini