JOHOR BAHRU 3 April – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan tegas termasuk menyenarai hitam kenderaan asing yang memiliki saman tertunggak di negara ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya sentiasa memandang serius perkara tersebut, malah polis juga secara berterusan akan mengambil tindakan sewajarnya.
“Apa yang dilakukan Singapura itu kita tidak campur, itu urusan mereka tetapi bagi pesalah trafik yang melakukan kesalahan di negara kita…kita akan ambil tindakan berterusan.
“Seperti menyenaraihitam atau menyekat sampai mereka jelaskan saman trafik yang tertunggak,” katanya selepas merasmikan penubuhan pasukan Pancaragan PDRM Zon Selatan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Bagaimanapun, Mohamad Fuzi berkata, jika pihaknya merasakan perkara itu bertambah serius, polis akan mengemukankan cadangan kepada kerajaan mengenai langkah yang perlu diambil.
Bermula semalam, kenderaan asing yang mempunyai jumlah denda yang belum dijelaskan seperti kesalahan trafik, kesalahan meletak kereta atau pelepasan asap kenderaan
tidak akan dibenarkan memasuki Singapura. – UTUSAN ONLINE











