KUALA LUMPUR 3 April – Kekecohan yang berlaku semasa pengundian tapak Bazar Ramadan Jalan Raja oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini semalam dipercayai berpunca daripada tindakan pihak yang tidak berpuas hati dengan pemindahan tapak bazar berkenaan.
Pengarah Jabatan Perancangan Korporat DBKL, Norhaslinda Nordin berkata, kekecohan dicetuskan oleh kumpulan yang membantah pemindahan tapak bazar dari Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) ke Jalan Raja, di sini dan tidak mempunyai kaitan dengan proses pengundian.
Katanya, kekecohan yang menyebabkan proses pengundian terganggu seketika itu disebabkan oleh pihak yang tiada kena mengena dengan pengundian.
“Mereka tiada kena mengena dengan pengundian untuk mendapatkan bazar tetapi datang untuk membantah keputusan perpindahan yang telah diputuskan DBKL.
“Kekecohan dapat dikawal dengan baik setelah Timbalan Pengarah Jabatan Pembangunan dan Pembangunan Penjaja DBKL, Ismadi Sakirin mententeramkan keadaan dan berbincang dengan mereka,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Norhaslinda memberitahu, pihaknya tidak menerima sebarang bantahan daripada peniaga yang layak mengundi untuk mendapatkan tapak bazar.
“Kesemua peniaga pada dasarnya akur dan sedia untuk mula berniaga di lokasi baharu. Kami dapati tiada seorang pun daripada 1,331 pengundi tapak yang membantah atau keluar dari bangunan sebagai tanda protes.
“Kesemua yang layak mengundi telah menjalankan tanggungjawab mereka,” katanya. – UTUSAN ONLINE











