IPOH – Pasukan bola sepak Perak mara ke pusingan ketiga Piala FA selepas menundukkan Negeri Sembilan 2-1 di gelanggang sendiri di Stadium Perak di sini sebentar tadi.
Tuan rumah berjaya mendapatkan gol pertama pada minit ke-40 menerusi pemain pertahanannya, Nazirul Naim Che Hashim yang melepaskan rembatan leret ke gawang Negeri Sembilan selepas mendapat hantaran daripada rakan sepasukan, Wander Luiz Bitencourt Junior.
Tidak mahu berputus asa, pasukan pelawat berusaha bangkit daripada ketinggalan dan hasilnya mereka memperoleh gol penyamaan pada minit ke-67 apabila pemain penyerangnya, Jose Almir Barros Neto menanduk masuk bola ke gawang Perak hasil sepakan percuma daripada Shunsuke Nakatake.
Pemain penyerang The Bos Gaurus, Muhammad Shahrel Fikri Md. Fauzi muncul wira pasukan selepas dia merembat bola untuk mendapatkan gol kemenangan Perak pada minit ke-78.
Keputusan Perak mendahului Negeri Sembilan 2-1 kekal sehingga wisel penamat ditiupkan. – K! ONLINE











