KUALA LUMPUR 7 April – Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya mematahkan cubaan menyeludup masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui perairan Tanjung Sepat, Banting, dekat sini menerusi Ops Nyah 1, kelmarin.
Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Abd. Ghani Mohamad Ji berkata, kegiatan sindiket terbongkar apabila anggotanya mengesan sebuah kereta jenis Perodua Myvi berwarna kuning dalam keadaan mencurigakan di Kampung Tanjung Sepat, dekat sini pada pukul 2.30 pagi.
Menurutnya, anggota terbabit meminta kenderaan tersebut berhenti untuk melakukan pemeriksaan namun gagal sebelum meminta bantuan petugas di Markas Taktikal PGA Pantai Morib.
“Sepasukan anggota kemudian bergerak ke lokasi sebelum menahan dua buah kenderaan jenis Proton Wira dan Proton Persona di Kampung Tali Air, Banting. Pemeriksaan mendapati terdapat 11 lelaki warga Bangladesh berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun yang tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah di dalam kereta terbabit.
“Kita turut menahan dua lelaki tempatan berusia 37 dan 40 tahun yang memandu dua kereta tersebut,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Gotong-royong Amal Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama masyarakat di Tanah Perkuburan Islam Bandar Tun Hussein Onn, di sini hari ini.
Abd. Ghani memaklumkan, siasatan mendapati PATI yang ditahan sepatutnya dibawa ke satu tempat tinggal sementara selepas masuk ke negara ini melalui perairan Tanjung Sepat.
“Kita percaya sindiket ini aktif menjalankan aktiviti membawa masuk PATI dan menggunakan pelbagai kenderaan seperti bas serta van pelancong bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa.
“Siasatan masih dijalankan bagi memburu dalang terbabit. Kes disiasat mengikut Seksyen 26 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM),” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











