KUALA LUMPUR 26 April – CIMB Group melalui CIMB Bank Bhd. dan CIMB Islamic Bank Bhd. menjalin perkongsian strategik dengan Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd. (CGC) untuk menyediakan akses kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kepada nilai pembiayaan berjumlah RM2 bilion melalui skim Jaminan Portfolio-i.
CIMB Group dan CGC dalam kenyataan bersama berkata, mengikut skim pembiayaan itu, CIMB Bank dan CIMB Islamic akan memperuntukkan sehingga RM2 bilion melalui Jaminan Portfolio-i iaitu pembiayaan modal kerja Islam dengan 70 peratus daripadanya dijamin CGC tanpa cagaran.
“Jumlah pembiayaan adalah sehingga RM1 juta bagi setiap pelanggan dengan tempoh maksimum tujuh tahun,” katanya di sini hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Komersial Kumpulan CIMB Group, Victor Lee Meng Teck berkata, pihaknya gembira dapat bekerjasama dengan CGC untuk pembangunan negara memandangkan PKS dijangka menyumbang 41 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2020.
“CIMB juga komited menyokong industri PKS bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh ASEAN menerusi 800 cawangan dan 2,000 pengurus perhubungan CIMB.
“Seiring Forward23 iaitu pelan pertumbuhan jangka sederhana CIMB, saranan tumpuan semula kami termasuk pelaburan melebihi RM300 juta bagi tempoh lima tahun akan datang akan memperkukuh penyelesaian perbankan PKS dipacu teknologi menyeluruh bagi membantu melonjakkan perniagaan pelanggan kami,” katanya. – UTUSAN ONLINE










