LAPORAN Indeks Keselamatan Unisys yang dikeluarkan pada 2018 menunjukkan masih terdapat kebimbangan dalam kalangan rakyat Malaysia untuk menggunakan identiti digital bagi mengakses perkhidmatan perbankan dalam talian. Mereka bimbang untuk mengesahkan pembayaran atas faktor keselamatan data.
Pengarah Penyelesaian Perkhidmatan Kewangan Unisys Asia Pasifik iaitu Ian Selbie menyatakan orang ramai hanya selesa mengguna identiti digital untuk berurusan dengan kerajaan.
Kebimbangan yang ditunjukkan orang ramai khabarnya atas faktor keselamatan data yang digunakan kerana bimbang ia boleh mengakibatkan kecurian identiti, penyalahgunaan kad kredit selain bimbang peranti digodam.
Terdapat juga kebimbangan penyebaran virus kepada komputer yang boleh membawa kesan yang lebih buruk. Tinjauan juga melaporkan tahap kebimbangan rakyat terhadap keselamatan masih tinggi dan tiada perubahan berbanding laporan pada 2017. Malaysia berada di tempat ketiga dari 13 buah negara selepas Filipina dan Colombia.
Majoriti masyarakat dilihat selesa menggunakan identiti digital hanya untuk berinteraksi dengan organisasi kerajaan berbanding penyedia perkhidmatan untuk tujuan komersial.
Pun begitu, terdapat keperluan mendesak untuk menggunakan identiti digital dalam sektor perbankan sekitar Asia yang bakal diperluaskan pada masa hadapan. Laporan itu turut mendedahkan kebimbangan masyarakat terhadap isu keselamatan yang didapati berbeza mengikut faktor demografik.
Laporan menunjukkan penduduk di Semenanjung sangat mementingkan keselamatan data manakala penduduk Sabah dan Sarawak pula lebih mengutamakan ancaman fizikal.
Pada sisi yang lebih positif pula, Bank Standard Chartered berjaya menjalankan Kajian Golongan Kaya Baharu 2018. Dapatan kajian menunjukkan 64 % daripada golongan kaya baharu Malaysia mempercayai pengurusan kewangan digital telah berjaya membantu mereka mencapai matlamat kewangan.
Sejumlah 67 % pula berpendapat instrumen kewangan digital menjadi faktor penting dalam kejayaan mereka. Selain itu, 63 % pula berjaya mengawal kewangan dan pelaburan melalui perbankan dalam talian.
Kajian itu turut melaporkan bahawa rakyat Malaysia telah menggunakan pengurusan harta secara digital dan 58 % hanya melabur dalam produk kewangan dalam talian dengan bantuan penasihat kewangan.
Produk kewangan digital dijangka dapat membantu golongan kaya baharu Malaysia mencapai matlamat kewangan dan instrumen ini dikatakan penting dalam memastikan kejayaan kewangan pada tahap yang lebih tinggi.
Golongan kaya baharu di Malaysia yakin dengan perkhidmatan dalam talian berdasarkan statistik 60 % menunjukkan mereka mempercayai penasihat dalam talian dengan mempertaruhkan sebahagian atau ke semua simpanan mereka.
Kajian Golongan Kaya Baharu 2018 yang bertajuk Climbing the Prosperity Ladder itu merujuk kepada pandangan 11,000 pengguna golongan kaya baharu di 11 pasaran di Asia, Afrika dan Asia Barat.
Mereka merupakan individu yang mempunyai kewangan mencukupi untuk perbelanjaan, menabung dan pelaburan. Malah kuasa ekonomi yang ada pada mereka telah memberi impak terhadap pertumbuhan pasaran.
Jika diamati, rakyat Malaysia sebenarnya sudah cenderung dengan perkhidmatan secara digital. Oleh itu, penyedia perkhidmatan perlu menunjukkan bagaimana isu keselamatan data berjaya di atasi dan perkhidmatan perbankan dalam talian mereka adalah kompetitif untuk dipilih dan digunakan.
Justeru, paling utama kita sebagai pengguna perlu sentiasa amalkan sikap berhati-hati. Selamat mencuba perbankan dalam talian.
PENULIS ialah Pensyarah Kanan Kewangan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM Kampus Pasir Gudang.











