KUALA LUMPUR – Seramai 10 orang pengunjung sebuah pusat hiburan yang sedang leka berhibur di sebuah premis di Jalan Loke Yew di sini ditahan selepas didapati positif dadah dalam satu serbuan oleh pihak polis Sabtu lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintendan Rudy Abdullah berkata, serbuan dilakukan kira-kira pukul 1 pagi kelmarin oleh sepasukan anggota dan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
“Seramai 26 orang pengunjung yang berhibur di dalam dua buah bilik ‘vip’ telah diperiksa dalam serbuan tersebut yang terdiri daripada tujuh warga tempatan, lapan warga Vietnam serta seorang warga Myanmar.
“Hasil pemeriksaan mendapati 10 daripada mereka iaitu lapan lelaki tempatan serta dua wanita Vietnam berusia dalam lingkungan 20 hingga 30 tahun didapati positif dadah methamphetamine dan ketamin,” katanya pada satu sidang akhbar di IPD Dang Wangi, hari ini.
Menurut beliau, siasatan yang dilakukan mendapati premis berkenaan mempunyai lesen operasi yang sah dan pengunjung dipercayai memperolehi bekalan dadah dari luar atau membawa sendiri bekalan dadah ke pusat hiburan berkenaan.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan pihak polis sedang di dalam proses mengambil keterangan daripada pihak pengurusan pusat hiburan berkenaan.
“Kesemua suspek kini direman selama empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” tegas beliau. – K! ONLINE











