Pengiktirafan berharga One Two Jaga - Utusan Malaysia

Pengiktirafan berharga One Two Jaga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SATU pengiktirafan berbaloi. Itu penyataan yang disifatkan pelakon dan pengarah Nam Ron selepas filem arahannya Crossroads: One Two Jaga mengungguli penganjuran Festival Filem Malaysia ke-30 (FFM30) pada Sabtu lalu apabila menjulang trofi Filem Terbaik.

Pemilik nama sebenar Shahili Abdan itu juga diangkat selaku Pengarah Terbaik dalam penganjuran festival yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya.

Hakikatnya naskhah yang memasuki pawagam tempatan pada 6 September tahun lalu itu pernah melalui kesukaran dengan turun naik ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan Lembaga Penapisan Filem (LPF) demi mendapatkan kebenaran tayangan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Malah lebih mengecewakan, tayangan naskhah yang dibintangi Zahiril Adzim, Amerul Affendi, Ario Bayu, Asmara Abigail, Chew Kin Wah, Iedil Putra, Bront Palarae, Sabri Yunus, Vanida Imran dan Timothy Castillo itu pernah ditarik oleh lima buah pawagam kerana kekurangan jumlah penonton.

Jelas Nam Ron, 50, pengiktirafan yang diterimanya pada malam itu menjadi penyuntik semangat dan motivasi untuknya terus melahirkan karya lebih baik pada masa akan datang.

“Apa jua jenis pengiktirafan bukanlah perkara yang saya tuntut ketika menghasilkan sesuatu karya sebab objektif utama saya hanyalah untuk berkarya.

“Kalau saya harapkan pengiktirafan seperti ini, saya tidak akan bermula dengan fasa indie sebelum berani menceburkan diri dalam filem arus perdana,” ujarnya yang akan muncul dengan sebuah filem rasuah dalam kalangan menteri pula tidak lama lagi.

Selain dua kategori utama berkenaan, filem yang diterbitkan oleh Pixel Play Entertainment itu turut membawa pulang empat lagi kategori iaitu Pelakon Lelaki Terbaik menerusi Rosdeen Suboh, Poster Terbaik (Jazzy Pictures), Cerita Asal Terbaik (Pitt Haniff, Muhammad Syafiq dan Nam Ron) dan Lakon Layar Terbaik (Amri Rohayat, Fared Ayam dan Nam Ron).

Akui pelakon yang berpengalaman selama 30 tahun dalam gelanggang seni itu lagi, isi kandungan cerita One Two Jaga yang mengikis sisi gelap badan beruniform negara berkenaan isu rasuah merupakan kekuatan karya sehingga berjaya dinobatkan selaku penerima trofi agung FFM30.

“Filem One Two Jaga bukan karya yang memaparkan kisah biasa untuk buat penonton terhibur atau dapat melihat wajah hero dan heroin yang cantik, kami tidak gunakan formula tersebut dalam naskhah ini.

“Tetapi naskhah ini lebih kepada penyelongkaran isu-isu yang berlaku dalam masyarakat kita. Pendek kata, filem ini ada suara dan selari dengan prinsip saya bahawa setiap karya harus ada suara,” katanya yang menjadikan kisah sebenar daripada masyarakat sekeliling sebagai bahan cerita dalam filem One Two Jaga.

Doa Erma Fatima

Sementara itu, aktres Datin Seri Umie Aida diangkat selaku pemenang bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Dukun arahan sutradara Dain Said. 
 Biarpun terkejut atas kemenangan yang diterima, akui Umie, beliau tidak pernah meletakkan sebarang jangkaan atau harapan untuk membawa pulang sebarang trofi pada malam itu.

“Sejujurnya sebelum saya menghadiri majlis ini, saya tidak tahu tentang filem, pencalonan serta kriteria yang dinilai oleh juri bagi menentukan pemenang.

“Cuma orang-orang rapat di sekeliling yang selalu memberi keyakinan bahawa saya akan menang terutamanya kakak, Erma Fatima. Alhamdulillah, saya sifatkan kemenangan pada malam ini adalah doa daripada mereka semua,” katanya yang memegang watak sebagai Diana Dahlan dalam filem tersebut.

Selain itu, filem yang ditayangkan pada tanggal 5 April tahun lalu itu juga turut memenangi tiga kategori lain iaitu Rekaan Kostum/Busana Terbaik (Andy Sulaiman), Kesan Khas Terbaik (Pixelpost) dan Penyunting Terbaik (Raja Affandi Raja Jamaludin).

Dalam pada masa sama, filem bahasa Mandarin, Guang memenangi empat kategori iaitu Penataan Seni Terbaik (Chan Hsien Yu), Sinematografi Terbaik (Yeong Tuck Wei), Pelakon Lelaki Harapan (Kyo Chen) dan Pengarah Harapan (Quek Shio Chuan).

Aktor Hasnul Rahmat dan Nabila Huda masing-masing memenangi kategori Pelakon Pembantu Lelaki dan Wanita Terbaik menerusi filem Polis Evo 2 dan Makrifat Cinta.

Bagi anugerah Penggiat Belakang Tabir, FFM30 memilih penulis lirik tersohor Habsah Hassan selaku penerima, manakala aktor veteran AR Badul pula dianugerahkan Karyawan Sepanjang Zaman.

Tidak ketinggalan, filem Munafik 2 arahan Syamsul Yusof menerima anugerah Filem Box Office kerana mengungguli carta filem terlaris pada tahun lepas dengan kutipan sebanyak RM48 juta.

Sebanyak 42 buah filem tempatan dipertandingkan bagi merebut trofi Filem Terbaik FFM30 antaranya Pulang, Polis Evo 2, Kl Special Force, Munafik 2, Paskal The Movie, Dukun, Hantu Kak Limah, Tombirou: Penunggu Rimba, Think Big Big, Aasaan, Pinjamkan Hatiku, KL Wangan, Two Sisters, Kau Takdirku, The Spiral, The Kid From The Big Apple 2: Before We Forget, Makrifat Cinta, Rise Of Legend: Lee Chong Wei, Sughamaai Subbulakshmi, Operasi X dan Rise Ini Kalilah.

Malam kemuncak FFM30 dikendalikan oleh pengacara Nabil Ahmad dan Adibah Noor. Antara tetamu kehormat yang turut menghadiri acara tersebut adalah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Datuk Samsuni Mohd. Nor, dan Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

Filem One Two Jaga yang tidak mendapat sambutan di pawagam seakan membalas dendam pada malam kemuncak FFM30 pada malam Sabtu lalu apabila membolot enam kategori termasuk Filem Terbaik.

  •  Filem Box Office: Munafik 2
  •  Poster Terbaik: Jazzy Pictures – One Two Jaga
  •  Rekaan Kostum/Busana Terbaik: Andy Sulaiman – Dukun
  •  Kesan Khas Terbaik: Pixelpost – Dukun
  •  Penataan Bunyi Terbaik: Imaginex Studio Sdn. Bhd. – Pulang
  •  Penyunting Terbaik: Raja Affandi Raja Jamaludin – Dukun
  •  Penataan Seni Terbaik: Chan Hsien Yu – Guang
  •  Skor Muzik Asal Terbaik: Nick Davis – Two Sisters
  •  Lagu Tema Terbaik: Monoloque – Atma Jiwa (Filem Busker)
  •  Pelakon Wanita Harapan: Jaya Ganason – The Farm: En Veettu Thottahil
  •  Pelakon Lelaki Harapan: Kyo Chen – Guang
  •  Sinematografi Terbaik: Yeong Tuck Wei – Guang
  •  Pengarah Harapan: Quek Shio Chuan – Guang
  •  Pelakon Kanak-kanak Terbaik: Eng Wei Jie – Rise Of The Legend: Lee Chong Wei
  •  Pelakon Pembantu Wanita Terbaik: Nabila Huda – Makrifat Cinta
  •  Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik: Hasnul Rahmat – Polis Evo 2
  •  Anugerah Khas Juri 1: Asia Tropical Sdn. Bhd. – Paskal The Movie
  •  Anugerah Khas Juri 2: Vedu Production – Vedigundu Passanggae
  •  Anugerah Khas Juri 3: Astro Shaw Sdn. Bhd. – Busker
  •  Penggiat Belakang Tabir: Habsah Hassan
  •  Karyawan Sepanjang Zaman: A.R Badol
  •  Cerita Asal Terbaik: Pitt Haniff, Muhammad Syafiq & Namron – One Two Jaga
  •  Lakon Layar Terbaik: Amri Rohayat, Fared Ayam & Namron – One Two Jaga
  •  Pelakon Wanita Terbaik: Datin Seri Umie Aida – Dukun
  •  Pelakon Lelaki Terbaik: Dr. Rosdeen Suboh – One Two Jaga
  •  Pengarah Terbaik: Namron
  •  Filem Terbaik: One Two Jaga
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini