PUTRAJAYA 24 April- Kabinet masih belum membuat sebarang keputusan akhir berkenaan penghapusan had paras harga bagi petrol RON95 yang kini ditetapkan pada paras RM2.08 seliter
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, harga berkenaan kekal buat masa sekarang sebagai usaha kerajaan melindungi rakyat.
“Kabinet masih belum membuat sebarang keputusan akhir berkenaan penghapusan had paras harga bagi petrol RON95. Harga seliter bagi petrol RON95 buat masa sekarang kekal pada RM 2.08.
“Inisiatif berkenaan merupakan salah satu usaha kerajaan dalam melindungi rakyat daripada terdedah kepada harga petrol yang tinggi dan tidak menentu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Saifuddin Nasution, penstabilan harga runcit minyak dan pelaksanaan subsidi bersasar adalah salah satu komitmen manifesto Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu dan bukannya RM1.50 seliter bagi petrol RON95 seperti yang tular di ruang media sosial.
“Penstabilan harga runcit minyak telah pun dilaksanakan dan kerajaan komited melaksanakan subsidi bersasar supaya hanya golongan yang layak dan memerlukan sahaja menerima subsidi petrol ini,”katanya.
Dalam pada itu katanya, kerajaan sentiasa mendengar dan terbuka untuk mendengar cadangan daripada rakyat berkenaan pelaksanaan subsidi bersasar ini agar niat dan objektif di sebalik dasar ini tercapai. -UTUSAN ONLINE











