SUNGAI PETANI – Seorang lelaki yang berang kerana tidak dapat menemui teman wanitanya yang juga isteri orang bertindak membakar sebuah rumah di Taman Desa Aman, Sungai Lalang di sini awal pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 pagi itu, rumah milik suami kepada kekasih suspek itu musnah 90 peratus selain turut mengakibatkan rumah bersebelahan terbakar 40 peratus.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, suspek yang dikenali sebagai Black berusia 24 tahun dikatakan mempunyai hubungan sulit dengan wanita berusia 33 tahun itu.
“Semasa kejadian, rumah tersebut kosong kerana wanita terbabit bersama suami dan empat anaknya berusia antara setahun hingga 12 tahun telah pulang ke kampung halaman di Baling dekat sini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kata beliau, suami wanita terbabit yang berusia 35 tahun membawa mereka tinggal di kampung selepas suspek mengugut untuk membunuh mereka sekeluarga pada semalam selain mahu menghalang isterinya berjumpa dengan suspek.
“Suspek yang tidak berpuas hati bertindak membakar rumah berkenaan dan siasatan pihak forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah menemui satu besi pengumpil di halaman rumah dan satu penutup botol berbau petrol,” ujarnya.
Selain itu, menurut Adzli, jiran mangsa memaklumkan sebelum kejadian dia terdengar bunyi cermin seperti dipecahkan dan ternampak kelibat suspek melarikan diri.
“Hasil maklumat orang awam, kita berjaya menahan suspek yang tinggal di kawasan sama di lokasi kira-kira 200 meter dari tempat kejadian,” jelasnya. -K! ONLINE











