Penempatan baharu rumah panjang TTDI hanya di tapak sedia ada - Utusan Malaysia

Penempatan baharu rumah panjang TTDI hanya di tapak sedia ada

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 26 April – Anggota Parlimen Segambut, Hannah Yeoh menegaskan, pembangunan semula penempatan baharu bagi penduduk rumah panjang Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) di sini hanya boleh dijalankan di tapak sedia ada.

Sebarang perancangan yang menjangkaui kawasan Taman Rimba Kiara tidak dibenarkan bagi memelihara dan memulihara kawasan hijau.

“Kami tidak pernah membantah (penghuni) rumah panjang untuk mendapat perumahan baharu malah kami sangat mengalu-alukannya, tetapi kami tidak mahu (penempatan semula) perumahan baharu itu dibina melangkau masuk ke Taman Rimba Kiara,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran ‘BukuDrive’ anjuran UEM Sunrise di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Semalam, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad menegaskan projek pembangunan Taman Rimba Kiara adalah untuk membina semula penempatan penduduk rumah panjang di kawasan itu.

Projek pembangunan Taman Rimba Kiara mencetuskan kontroversi apabila pada April 2017, DBKL mengeluarkan perintah pembangunan bagi projek mega di atas lot seluas 4.9 hektar daripada 10.1 hektar Taman Rimba Kiara yang melibatkan pembinaan satu blok 350 unit rumah mampu milik untuk komuniti rumah panjang Bukit Kiara, dan lapan blok kondominium mewah 50 tingkat.

Keputusan itu mendapat bantahan penduduk TTDI yang mendakwa projek berkenaan bakal menghapuskan kehijauan alam semula jadi di kawasan itu.

Isnin lepas, Khalid dilaporkan berkata, pemaju projek di Taman Rimba Kiara bersetuju mengurangkan saiz dan jumlah blok pangsapuri dengan keluasan projek itu dikecilkan daripada 4.9 hektar kepada 3.2 hektar.

Antara pembangunan yang akan diteruskan, empat blok kondominium berbanding lapan blok sebelum ini serta satu blok rumah mampu milik yang akan diserahkan kepada 100 penduduk rumah panjang.

Dalam pada itu, UEM Sunrise buat julung kalinya melancarkan kempen mengumpul buku

‘BukuDrive’ di Pusat Beli-belah Publika bagi mengumpul buku-buku terpakai untuk bacaan pengunjung.

Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Anwar Syarin Abdul Ajib berkata, kempen ini akan diadakan sepanjang tahun dengan menempatkan kotak-kotak pengumpulan buku di sekitar pusat beli-belah bagi memudahkan orang ramai menderma buku-buku mereka.

“Selaras dengan usaha menjadikan ibu kota sebagai World Book Capital pada tahun 2020, selain memupuk budaya membaca, ia juga sebagai kemudahan kepada warga kota untuk membaca bahan-bahan bacaan ringan seperti novel, buku-buku ilmiah dan sebagainya di tempat awam sebagai riadah bersama anggota keluarga mereka,” katanya. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini