Pendapatan minimum RM2,000 
bagi graduan di Lembah Klang - Utusan Malaysia

Pendapatan minimum RM2,000 
bagi graduan di Lembah Klang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 1 April – Pendapatan minimum RM2,000 merupakan jumlah yang wajar diterima dalam kalangan gra­duan ijazah sarjana muda apabila mereka melangkah ke alam pekerjaan di ibu negara khususnya Lembah Klang.

Jumlah itu disifatkan wajar selepas mengambil kira kos sara hidup pada hari ini merangkumi perbelanjaan asas lain seperti tempat tinggal serta pengangkutan.

Menurut Yang Dipertua Persatuan Siswazah Wanita Malaysia (PSWM), Datin Fauziah Ramly, adalah tidak adil bagi graduan menerima pendapatan yang tidak kompetitif berban­ding kepakaran dimiliki.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata, majikan perlu bersikap lebih serius dalam menentukan pendapatan pekerja mereka dengan mengambil kira kedudukan kos sara hidup semasa.

“Paling minimum RM2,000 yang memadai untuk sewa bilik di Kuala Lumpur sekurang-kurangnya RM400 sebulan, bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan kos pengangkutan.

“Selain itu graduan juga perlu bijak menangani peningkatan kos sara hidup supaya pendapatan yang diperolehi cukup untuk perbelanjaan keperluan dan simpanan untuk kegunaan ketika kecemasan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia (BNM) 2018 turut memberitahu, pasaran kerja terjejas sejak 2010 apabila banyak syarikat terpaksa mengecilkan operasi bagi memastikan kelangsungan perniagaan mereka.

Dalam pada itu, Naib Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Wilayah Persekutuan, Dzulkarnain Roslan memberitahu, asas gaji pada hari ini wajar dikaji semula supaya bersesuaian de­ngan situasi semasa.

“Kajian gaji siswazah yang rendah harus dipercepatkan agar lambakan graduan yang bakal menghabiskan pelajaran selepas ini tidak terpinggir dan mendapat gaji yang sepatutnya,” ujarnya.

Semalam Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail melaporkan kerajaan akan mengkaji semula gaji siswazah baharu ekoran penurunan pendapatan mereka pada tahun lalu berbanding 2010 menerusi Laporan Tahunan BNM 2018, diploma RM1,458 kepada RM1,376, ijazah sarjana muda RM1,993 kepada RM1,983.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini