IPOH 24 April – Dewan Pemuda Pas Perak mendesak Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Asmuni Awi untuk memohon maaf secara terbuka kerana melemparkan tuduhan melulu terhadap Almarhum Ustaz Norazli Musa.
Timbalan Ketuanya, Hafez Sabri berkata, pihaknya kesal dengan tindakan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Perak itu yang memperdengarkan satu rakaman audio yang didakwa ucapan seorang pimpinan Pas Pusat semasa Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak semalam.
Beliau berkata, berbekalkan latar belakang Asmuni dalam bidang undang-undang, Asmuni sepatutnya menyelidik terlebih dahulu dan tidak membuat tuduhan melulu tanpa usul periksa kerana ia merupakan satu perkara yang sangat ditegah dalam agama.
“Bukankah dalam isu ini semasa Almarhum Ustaz Norazli masih hidup, beliau telah bertindak menyaman pihak yang menfitnahnya dan Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan telah memberikan kemenangan kepadanya.
“Kononnya beliau menyatakan bahawa ‘siapa yang keluar jemaah Islam (Pas), maka ia jatuh kafir,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Norazli yang merupakan Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Perak, baru-baru ini telah dilaporkan meninggal dunia di Madinah, pada 12 Mac lalu.
Menurut Hafez, menyentuh perihal almarhum dalam keadaannya tidak dapat membela diri adalah satu tindakan jelek dan hina serta tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang exco yang memegang portfolio agama.
Malahan katanya, tindakan Asmuni dalam Sidang DUN Perak itu telah melukakan hati isteri serta anak-anak almarhum selain ahli keluarga termasuk sahabat handai.
“Isu yang dibangkitkan melibatkan insan yang sudah kembali ke rahmatullah ini adalah isu lama di mana rakaman audio itu merupakan suara Almarhum Ustaz Norazli Musa.
“Seharusnya beliau (Asmuni) mendapat kepastian terlebih dahulu sebelum menjatuhkan hukum serta menyebar audio suara almarhum dalam sidang DUN Perak,” katanya.
Hari terakhir Sidang DUN Perak semalam kecoh apabila Asmuni menyuarakan kebimbangan bahawa gabungan UMNO dan Pas akan menyuburkan budaya mengkafirkan pihak lain, hanya kerana tidak sependapat dalam perjuangan politik. – UTUSAN ONLINE










