JAKARTA 22 April – Komisi Pemilihan Umum mendedahkan sebanyak 90 orang pegawai jawatankuasa pusat mengundi (KPPS) meninggal dunia sepanjang perjalanan pilihan raya umum (Pemilu) 2019.
Tempo.Co yang memetik KPU sebagai berkata, angka itu berdasarkan data yang diperolehi badan terbabit bermula dari tarikh 17 April hingga 21 April 2019.
“Sebanyak 464 orang petugas mengalami musibah dengan 90 orang daripadanya meninggal dunia manakala 374 lagi sakit,” kata Pesuruhjaya KPU, Viryan Aziz, hari ini.
Viryan menjelaskan, punca kematian petugas KPPS adalah kerana keletihan dan kemalangan semasa bertugas dan meminta mereka supaya menjaga kesihatan ketika proses pengiraan undi berlangsung sehingga bulan depan.
Tambahnya, KPU akan memastikan pampasan akan diberikan kepada anggota KPPS yang meninggal dunia dan sakit dan langkah itu telah diselaraskan dengan Kementerian Kewangan.
Dalam pada itu, Badan Pengawas Pemilihan Umum (Bawaslu) mencadangkan agar 8,146 pusat pengundian di Surabaya mengadakan proses pengiraan semula kerana dipercayai berlaku pelanggaran peraturan Pemilu.
Pengerusi Bawaslu Surabaya, Hadi Margo berkata, ini berikutan laporan ke atas lima parti politik dan calon legislatif yang dikaitkan dengan penipuan kertas undi.
Lima parti terlibat katanya adalah, Parti Kebangkitan Bangsa (PKB) Surabaya, Parti Gerindra Surabaya, Parti Hanura Surabaya, Partai Amanat Nasional (PAN) Surabaya dan Parti Keadilan Sejahtera (PKS) sementara calon berkenaan adalah dari Parti Golkar, Abraham Sridjaja.
“Sehubungan itu saya mencadangkan agar KPU Surabaya mengeluarkan arahan kepada Panitia Pemilihan Kecamatan (PPK) untuk melakukan pengiraan semula dan membetulkan keputusan sedia ada dengan kadar segera,” katanya.
Sementara itu, 14 pusat pengundian di dua daerah di wilayah Papua diarahkan untuk melakukan pengundian semula selepas berlaku kekurangan kertas undi semasa Pemilu berlangsung, minggu lalu. – AGENSI











