Pemegang UEC layak sambung pengajian dalam TVET - Utusan Malaysia

Pemegang UEC layak sambung pengajian dalam TVET

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 6 April – Pemegang Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) layak untuk menyambung pengajian dalam Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di negara ini dalam usaha melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir tempatan, kata Menteri Sumber Manusia M. Kulasegaran.

Beliau berkata, bagaimanapun, mereka perlu menjalani Ujian Kecenderungan Kemahiran (UKK) terlebih dahulu sebelum menyambung pengajian dalam bidang berkenaan.

“Kita mahu lebih ramai pelajar (mengambil TVET) dan kita mahu mempermudahkan, tak kisah jika mereka berkelulusan UEC atau pelajar dari sekolah Cina atau Tamil, semua orang boleh ambil TVET.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ini kerana ketika ini kerajaan memperuntukan lebih kurang RM4 bilion setahun dalam bidang TVET, jadi kita perlu lebih ramai golongan muda menyertai TVET kerana kita tidak mahu mereka ketinggalan sekiranya tidak mempunyai kelulusan akademik yang baik,” katanya.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Ipoh Barat berkata demikian kepada pemberita selepas Sesi Dialog Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Cawangan Perak anjuran Jabatan Tenaga Manusia (JTM) di Institut Latihan Perindustrian (ILP) di sini hari ini.

Sijil UEC adalah peperiksaan yang dikendalikan oleh badan persendirian menerusi Gabungan Kesatuan Pengelola Sekolah Cina Malaysia, Gabungan Kesatuan Guru Sekolah Cina dan Kesatuan Alumni Cina.

Dalam pada itu, Kulasegaran berkata, pihaknya mahu menarik lebih ramai masyarakat Orang Asli yang tidak mempunyai sebarang kelayakan untuk menyertai bidang TVET.

“Mengapa tidak kita beri peluang kepada Orang Asli mengikuti kursus-kursus kemahiran, kita beri sedikit kelonggaran asalkan mereka boleh menulis dan memahami sesuatu perkara berkaitan sudah cukup untuk mereka menyertai TVET,” katanya.

Kulasegaran berkata, ketika ini jumlah tenaga kerja mahir hanya sebanyak 28 peratus berbanding sasaran yang ditetapkan iaitu 35 peratus menjelang tahun depan. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini