KLANG – Perbuatan keji seorang lelaki mencabul seorang kanak-kanak perempuan asuhan isterinya sendiri mendapat hukuman setimpal apabila dipenjara 14 tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim Datin M. Kunasundary menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh didapati bersalah selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang bekerja sebagai pemandu lori itu didakwa telah melakukan amang seksual ke atas kanak-kanak perempuan berusia empat tahun dengan cara menjilat, menyentuh dan memasukkan jari ke dalam kemaluan mangsa.
Perbuatan tersebut dilakukan di sebuah rumah di Taman Sentosa di sini antara pukul 10 pagi hingga 7 petang sekitar Februari hingga April tahun lalu.
Bagi kesalahan tersebut, Sulaiman didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah seksyen kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Hafizah Zahidah Abdullah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat kepada tertuduh kerana kesalahan yang dilakukannya sangat serius serta menyebabkan trauma kepada mangsa.
“Pelaku seperti Orang Kene Tuduh (OKT) ini boleh dikategorikan sebagai Pedofil dan seharusnya dijauhkan daripada kanak-kanak.
“Dengan memberi hukuman berat dan tempoh pemenjaraan yang lama kepada OKT, mahkamah dapat membantu memainkan peranan untuk melindungi kanak-kanak secara amnya dari pelaku seperti OKT,” katanya.
Sementara itu, peguam mewakili tertuduh, Gerard Lazarus memohon mahkamah menangguhkan hukuman anak guamnya bagi membolehkan rayuan difailkan.
Permohonan tersebut dibuat memandangkan tertuduh mempunyai lima orang anak yang masih kecil, isteri tidak bekerja serta sarat mengandung anak keenam dan mempunyai hutang bank kerana baru membeli sebuah rumah.
Mahkamah kemudian membenarkan hukuman ditangguhkan dengan syarat tambahan termasuk notis rayuan perlu difailkan hari ini dan wang jaminan ditingkatkan daripada RM5,000 kepada RM15,000 dengan seorang penjamin.
Selain itu, tertuduh juga tidak dibenarkan mengganggu mangsa serta keluarganya selain perlu melaporkan diri ke balai polis berhampiran setiap bulan sehingga rayuan selesai.
Sepanjang tempoh perbicaraan yang bermula pada 13 Ogos tahun lalu sehingga Mac lalu, seramai enam orang saksi pendakwaan dan empat orang saksi pembelaan telah dipanggil. – K! ONLINE











