Pemandu koyakkan saman, maki polis trafik didenda RM1,200 - Utusan Malaysia

Pemandu koyakkan saman, maki polis trafik didenda RM1,200

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA – Tindakan seorang pemandu lori sawit mengoyakkan surat saman dan memaki anggota polis trafik pada dua tahun lalu membawa padah apabila dia dijatuhi hukuman denda RM1,200 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Zolhaisam Masuan, 45, yang mengaku bersalah sebaik sahaja dua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didapati dengan sengaja menghalang tugas anggota trafik dengan cara mengoyakkan saman dan mengeluarkan kata-kata kesat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan kedua, tertuduh didapati telah menengking dan memaki hamun anggota berkenaan dengan mengeluarkan kata-kata kesat dan didakwa mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967. 

Sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM500 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali. 

Kesemua perbuatan itu dilakukan tertuduh kira-kira pukul 11.30 pagi di Pejabat Pertanyaan Trafik  Cawangan Melaka Tengah, di sini pada 10 Mei 2017.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Lyiana Zainal Abidin memohon hukuman setimpal dikenakan kerana tertuduh tidak sepatutnya mengeluarkan kata-kata kesat kepada anggota yang bertugas.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukuman ringan diberikan dengan alasan tindakannya itu berpunca daripada ketidakpuasan hati apabila dia yang ketika itu bekerja sebagai pemandu peribadi bekas pemimpin negeri ini disaman semasa sedang menunggu majikannya berurusan di Banda Hilir.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM1,000 atau dua bulan penjara jika gagal bayar bagi pertuduhan pertama dan RM200 atau satu bulan penjara jika gagal bayar untuk pertuduhan kedua. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini