Sejak beratus-ratus tahun lalu, kedai runcit memainkan peranan penting dalam menentukan perkhidmatan pelanggan. Tetapi, dengan kewujudan teknologi yang pesat berkembang di sekeliling kita, cara mengendalikan perniagaan juga berubah.
Hari ini, kita melihat laman runcit dalam talian seperti Shopee, Lazada dan Alibaba sangat popular dalam kalangan pengguna. Namun, masih terdapat perniagaan dijalankan secara tradisional untuk berinteraksi dengan pengguna dan mengembangkan perniagaan. Walaupun ekonomi digital berkembang pesat, adakah ini akan menjejaskan perniagaan tradisional?
Satu daripada cara terbaik untuk menjawab soalan ini ialah memahami apa yang dikehendaki oleh pengguna. Menurut satu penyelidikan oleh KPMG pada 2017, antara sebab utama mengapa pengguna lebih suka berbelanja secara dalam talian:
l Mereka mempunyai keupayaan membeli-belah pada bila-bila masa.
l Keupayaan untuk membandingkan harga. Pengguna mahu melihat pilihan dan keupayaan untuk memilih tawaran yang lebih baik.
l Akses kepada jualan dalam talian dan harga yang lebih baik. Akses mudah ke tawaran hebat
l Sukar luangkan masa.
Laporan oleh AIA Vitality pada 2017 menunjukkan purata kerja Malaysia adalah 15 jam lebih banyak dari jam kontrak mereka setiap minggu, mengatasi Singapura, Hong Kong dan Australia.
Oleh itu, para pengguna semakin sukar untuk meluangkan masa melawat kedai runcit fizikal dan membuat pembelian. Ini adalah antara sebab mengapa pengguna memilih membeli-belah dalam talian.
Satu kajian baru-baru ini oleh iPrice mendapati, pengguna di negara ini lebih cenderung membuat pembelian dalam talian pada pukul 4 petang, Rabu. Dalam erti kata lain, rakyat Malaysia lebih cenderung melakukan pembelian pada hari kerja berbanding hujung minggu.
Walaupun ini mungkin dilihat sebagai masalah oleh peruncit tradisional, sebaliknya, ahli perniagaan harus melihat ini sebagai peluang untuk berkembang lebih jauh. Dalam beberapa minggu akan datang, kami akan berkongsi bagaimana internet tidak menjadi ancaman kepada perniagaan tradisional, tetapi memberi peluang yang baik untuk perniagaan berkembang pesat.
Peluang berkembang
Semasa pelancaran pejabat baharu mereka di Malaysia tahun lalu, pakar teknologi Jack Ma daripada Alibaba menyatakan dalam sidang akhbar: “Digitalisasi perniagaan tempatan akan membantu memperkasakan perniagaan, memberi mereka peluang untuk berkembang dengan lebih pantas”.
Jack Ma menerangkan bahawa teknologi maklumat berfungsi memberi kuasa kepada penggunanya manakala teknologi digital berfungsi memberdayakan yang lain. Beliau percaya dan yakin dengan memberi kuasa kepada usahawan dan membuat mereka berjaya, akan menjadikan seseorang individu itu berjaya.
Usahawan dan perniagaan kecil yang baharu ke pasaran hari ini mempunyai keupayaan untuk belajar daripada usahawan berjaya dengan mengikut jejak langkah mereka.
Sebagai contoh, Alibaba menyediakan platform yang menghubungkan perniagaan kepada pengguna dan perniagaan lain. Memandangkan Alibaba adalah platform yang popular untuk perniagaan ini, maka perniagaan kecil dapat mengembangkan rangkaian pengguna dengan cepat. Dalam konteks ini, Alibaba telah membantu banyak perniagaan di seluruh dunia.
Dengan menawarkan kemudahan kepada pengguna, kedai runcit dalam talian kini mempunyai keupayaan menjual kepada pelanggan melebihi jangkauan fizikal. Antara contoh bagaimana perniagaan boleh melakukan kemudahan ini adalah dengan platform Alibaba, yang mana perniagaan kecil di Malaysia dapat memaparkan produk mereka ke pasaran China termasuk produk halal dan makanan.
Menurut Jack Ma, “Platform Alibaba juga akan membantu memperkasa golongan muda Malaysia menjalankan perniagaan di peringkat global dan membantu petani di kawasan pedalaman. Penduduk China menggunakan lebih daripada lapan bilion ayam setiap tahun dan ini menunjukkan China beralih daripada pengeksport kepada pengimport.”
Oleh itu, peniaga dalam talian hari ini mampu mendorong petani di kawasan pedalaman menjangkaui pengguna dengan lebih cepat. Pada zaman ini, kita mempunyai akses yang lebih luas kepada pengguna dan satu-satunya faktor yang membataskan perniagaan adalah penglihatan dan imaginasi usahawan.
Najwan Nazim dan Jeremy Chew dari iPrice Group (https://iprice.my)










