MENU udang kara sambal pedas dan lemak cili api antara masakan yang menjadi pilihan penggemar hidupan akuatik itu.
Meskipun harganya agak mahal, namun ia bukan alasan untuk memenuhi selera untuk meratah dah merasa isinya.
Keenakan rasanya telah mendorong kepada permintaan tinggi sehingga menyebabkan banyak syarikat penternakan udang kara air tawar berdepan masalah bekalan.
Situasi sama turut dialami oleh salah sebuah syarikat ternakan udang kara air tawar, Jeram Lobster Aggrotech (Jeram Lobster), Jeram, Kuala Selangor, Selangor yang masih gagal menampung bekalan haiwan ternakan itu di seluruh negara.
Pengasasnya, Tengku Muhammad Azrul Ariff Che Engku Chik berkata, ketika ini syarikatnya mampu membekalkan antara 100 kilogram (kg) hingga 150kg udang kara sebulan, namun jumlah itu jauh daripada mencukupi.
Jelasnya, bekalan tersebut hanya untuk pasaran di restoran-restoran besar di Kuala Lumpur dan juga peraih di sekitar Lembah Klang.
“Udang kara air tawar hari ini merupakan antara makanan yang mendapat permintaan tinggi di negara ini walaupun dianggap makanan mahal.
“Maka tidak hairanlah lobster sentiasa diminati penggemarnya hingga tidak mampu menampung permintaan yang tidak putus-putus,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Jeram Lobster mula beroperasi sejak Oktober tahun lalu di atas tanah berkeluasan enam hektar tetapi kerja-kerja penyediaan kolam dibuat lebih awal pada bulan April.
Tengku Muhammad Azrul memberitahu, ketika ini perniagaan itu dikendalikan bersama ahli keluarga.
Kesukaran
Jelasnya, sehingga kini pihaknya memiliki empat kolam tanah, 10 tangki poli dan 14 kolam tangki.
“Idea untuk menceburi perniagaan udang kara ini tercetus pada Mac tahun lalu selepas bapa saudara di Kelantan berdepan kesukaran untuk membekalkan ternakan itu di Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya.
“Situasi ini mendorong saya untuk membuka kolam udang kara air tawar bagi membantu memenuhi permintaan para pelanggan bapa saudara,” katanya.
Dia menambah, pihaknya menyasarkan untuk membekalkan udang kara lebih 500kg sebulan tahun ini.
Bagi mencapai sasaran itu, Jeram Lobster kini bekerjasama dengan bakal-bakal penternak menerusi pelbagai pakej usahawan yang diperkenalkan.
“Kami menyediakan pakej penternakan bagi mereka yang ingin menternak secara sendiri dan mereka yang bekerjasama sebagai usahawan udang kara air tawar.
“Menerusi kerjasama ini, saya berharap ia dapat memenuhi permintaan udang kara di negara ini sekali gus membantu menjana pendapatan lumayan kepada usahawan,” katanya.
Dalam pada itu, Tengku Muhammad Azrul berharap pihak kerajaan memberi perhatian sewajarnya terhadap industri penternakan udang kara air tawar.
“Langkah ini bagi memastikan para usahawan dapat mengeksport produk mereka ke luar negara pada masa akan datang,” katanya.
Mereka yang berminat dengan penternakan udang kara air tawar boleh menghubungi Jeram Lobster di talian 010-245 2415.











