GOMBAK – Seorang pelayan restoran maut manakala dua lagi parah dalam satu kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 442 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan di sini malam tadi.
Dalam kejadian pada pukul 10.09 malam itu, mangsa, Liew Han Khai, 29, maut di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, kemalangan berkenaan melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang dinaiki empat individu, kereta Proton Perdana dipandu seorang anggota polis dan kenderaan pacuan empat roda Peronda PLUS jenis Toyota Hilux.
“Berdasarkan siasatan awal, pemandu kereta Myvi telah memberhentikan kenderaannya di belakang kenderaan peronda PLUS yang berada di lorong kecemasan.
“Dia kemudian keluar dan meninggalkan dua rakannya di dalam kereta apabila sebuah kereta jenis Proton Perdana Spanco yang dipandu anggota polis itu telah hilang kawalan dan terlanggar kereta mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Samsor menambah, akibat perlanggaran tersebut, dua penumpang termasuk mangsa yang berada di tempat duduk belakang telah tersepit.
“Mangsa maut di lokasi kejadian dan seorang lagi rakannya telah dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan di Zon Merah.
“Anggota polis tersebut kini tidak sedarkan diri dan sedang menerima rawatan di Zon Kuning hospital yang sama,” ujarnya.
Dua lagi rakan mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE











