KUALA LUMPUR 30 April – Pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Mazlan Bujang sebagai Pengerusi Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor akan berkuat kuasa mulai 25 Mei ini.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Marzuki Yahya dalam satu kenyataan berkata, Mazlan yang juga bekas Exco Kerajaan Negeri Johor mengambil alih tugas itu daripada Datuk Osman Sapian.

“Adalah diharapkan Mazlan dapat menyumbangkan idea dan tenaga serta menjalankan tugas yang diamanahkan ini dengan penuh komitmen dan jujur demi kepentingan parti.
“Perlu juga dijelaskan di sini Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak pernah menjadi Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Johor, sebaliknya beliau adalah Pengerusi Pakatan Harapan Johor,” katanya hari ini.
Tambah Marzuki, kepemimpinan Bersatu mengucapkan terima kasih kepada Osman yang juga bekas Menteri Besar atas sumbangan beliau ketika menerajui Bersatu Johor. – UTUSAN ONLINE











