PENDANG – Seorang pekerja syarikat Projek Penyelenggaraan Lebuh Raya Berhad (Propel) maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta di Kilometer 60.2 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.50 petang itu, mangsa, Ahmad Shafii, 71, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada anggota badan.
Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, mangsa ketika kejadian menunggang motosikal jenis Sym di sebelah kiri lebuh raya dari arah Gurun menghala Alor Setar.
“Motosikal ditunggang mangsa itu dikatakan masuk ke laluan kereta jenis Mercedes Benz sebelum dilanggar kereta tersebut yang gagal mengelak kerana jarak terlalu dekat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, mangsa yang terjatuh di atas lebuh raya meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk dibedah siasat,” ujarnya.
Tambahnya, pemandu kereta yang merupakan warga Pakistan berusia 36 tahun tidak mengalami kecederaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – K! ONLINE











