PUTRAJAYA 14 April – Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (Peka B40) akan dilaksanakan di seluruh negara bermula esok, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.
Beliau berkata Peka B40 memberi fokus kepada jalinan kerjasama awam dan swasta bagi membantu kumpulan B40 dengan mengutamakan perkhidmatan klinik perubatan swasta umum (GP) yang sudah berdaftar.
“Penerima yang layak boleh menjalankan saringan kesihatan di klinik GP yang memaparkan pelekat khusus Peka B40.
“Sehingga 12 April lalu, terdapat 423 klinik GP yang berdaftar sebagai ‘Klinik Peka B40’. Senarai penuh boleh diperoleh di laman web PeKa B40 di alamat www.pekab40.com.my,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dzulkefly menambah, klinik GP lain pada masa sama turut disaran berdaftar secara atas talian bagi menjadi Klinik Peka B40 untuk memudahkan penerima skim ini menjalankan saringan kesihatan di klinik berhampiran dengan mereka.
Jelasnya, pendaftaran sebagai Klinik Peka B40 akan berterusan selama skim ini berjalan.
Sebagai permulaan, Peka B40 menurutnya, akan melalui fasa ujian operasi yang mana kementerian akan menilai kelancaran logistik dan mendapatkan maklum balas daripada semua pemegang taruh yang terbabit.
“Tempoh ujian ini akan berlangsung sehingga PeKa B40 dilancarkan sepenuhnya kelak,” katanya.
Dzulkefly berkata, selain manfaat utama iaitu saringan kesihatan kepada kumpulan sasar, Peka B40 juga memberikan manfaat lain seperti bantuan alat perubatan, insentif melengkapkan rawatan kanser dan insentif tambang pengangkutan.
Beliau berkata, melalui Peka B40, penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan pasangannya yang berdaftar, berusia 50 tahun ke atas pada 2019 adalah layak secara automatik untuk menyertai skim ini.
“Ia adalah percuma dan tiada pendaftaran khusus diperlukan. Semakan kelayakan dan pelbagai matlumat lanjut boleh didapati di laman web Peka B40 atau dengan menghubungi 03-2730 7575,” katanya. – UTUSAN ONLINE











