KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia hari ini mengumumkan pertukaran 11 pegawai kanannya yang akan berkuat kuasa bermula 28 Mei depan.
Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Urusetia Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Asmawati Ahmad berkata, antara pegawai kanan yang bertukar jawatan adalah Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Roslee Chik kepada Timbalan Pengarah (Siasatan), Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman bagi menggantikan Datuk Saiful Azly Kamaruddin.
“Datuk Saiful Azly Kamaruddin pula akan menggantikan Datuk Roslee Chik dengan menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang.
“Ketua Polis Daerah Seremban, Negeri Sembilan, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh dan Penolong Pengarah Narkotik (Risikan) Zon II, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Asisten Komisioner Abdul Latiff Mehat akan ditukarkan ke Bahagian Pentadbiran, Jabatan Pengurusan Bukit Aman,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, Timbalan Komander (Operasi) Unit Tindakhas, Pasukan Gerakan Khas, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Bukit Aman, Asisten Komisioner M. V. Srikumar ditukar menjadi Juruiring kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor, Jabatan Pengurusan Johor.
“ACP Task Force Modern Policing, Bahagian Dasar Sumber Manusia, Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Asisten Komisioner Low Kim Piew akan ditukarkan menjadi Penolong Pengarah Pengurusan (Maklumat Sumber Manusia), Bahagian Perkhidmatan/ Perjawatan, Jabatan Pengurusan Bukit Aman.
“Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Noor Azmi Yusoff pula akan bertukar menjadi Ketua Polis Daerah Ampang Jaya dengan memangku pangkat Asisten Komisioner dan kekosongan yang ditinggalkannya akan diisi oleh Superintendan Rajab Ahad Ismail dari Bahagian Latihan Bukit Aman,” jelas beliau.
Tambahnya, DSP Risik/ Bantuan Teknik Integriti, Cawangan Risikan/ Operasi, Bahagian Pematuhan Standard, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman, Deputi Superintendan Abdul Mubin Abd. Rahman akan menggalas jawatan Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Pulau Pinang dengan memangku pangkat Superintendan.
“Ketua Bahagian Latihan Maktab PDRM, Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Mohd. Rusli Din ditukarkan menjadi Komandan Pusat Latihan Polis (Pulapol) Bukit Sentosa, Selangor dengan memangku pangkat Superintendan.
“Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Jenayah Pemalsuan/ Pelaburan Bersindiket/ Siber Melaka, Deputi Superintendan Hasbullah Abd. Rahman pula akan bertukar menjadi Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Perak dengan memangku pangkat Superintendan,’ katanya.
Jelas Asmawati, kesemua pertukaran serta kenaikan pangkat yang dinyatakan akan berkuat kuasa bermula 28 Mei depan. – K! ONLINE











