GENEVA 1 April – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengecam pelaksanaan undang-undang syariah yang bakal dilaksanakan oleh Brunei, Rabu ini dengan mendakwa peraturan itu sebagai ‘kejam dan tidak berperikemanusiaan.’
Menerusi undang-undang baharu itu, pelaku zina dan homoseksual akan dikenakan hukuman rejam dengan batu sampai mati manakala pencuri berdepan hukuman potong tangan.
“Saya merayu kepada Brunei untuk menghentikan penguatkuasaan undang-undang syariah baharu ini yang akan menjejaskan perlindungan hak asasi manusia bagi rakyat Brunei sekiranya dilaksanakan,” kata Ketua Hak Asasi Manusia PBB, Michelle Bachelet dalam satu kenyataan.
Brunei mengumumkan langkah berkenaan pada 2013 namun pelaksanaannya terpaksa ditangguhkan ekoran berdepan tentangan daripada kumpulan hak asasi manusia dan menunggu butiran undang-undang tersebut dimuktamadkan.
Undang-undang syariah itu akan menghukum pesalah yang terbabit dengan kesalahan rogol, zina, curi, menghina atau memfitnah Nabi Muhammad dengan hukuman mati namun kanun jenayah terbabit hanya tertakluk kepada penduduk Muslim.
Tambah Bachelet, pakar hak asasi manusia PBB telah menyuarakan kebimbangan mereka berhubung undang-undang terbabit.
Beliau menegaskan undang-undang antarabangsa mengenakan sekatan yang sangat ketat ke atas penguatkuasaan hukuman mati dan hanya boleh dilaksanakan untuk jenayah pembunuhan serta pembunuhan yang disengajakan.
“Hakikatnya, tiada badan kehakiman di dunia boleh mendakwa bebas daripada kesilapan dan bukti menunjukkan bahawa hukuman mati secara tidak seimbang digunakan terhadap orang yang lemah dengan risiko kesilapan tinggi.
“Saya menggesa Brunei untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman mati itu.” kata Bachelet.
Komen dibuat pemimpin itu selepas ahli politik dan selebriti termasuk George Clooney dan Elton John mengutuk undang-undang tersebut dan menggesa gerakan boikot terhadap hotel dimiliki Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah. – AFP











