Pas sokong kerajaan tarik balik ratifikasi Statut Rom - Utusan Malaysia

Pas sokong kerajaan tarik balik ratifikasi Statut Rom

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 6 April – Pas menyokong penuh tindakan kerajaan menarik balik keputusan sertai Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

SETIAUSAHA Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan - UTUSAN ONLINE
TAKIYUDDIN HASSAN  – UTUSAN ONLINE 

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, perkara itu patut memberi pengajaran kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) supaya memikirkan kepentingan kedaulatan negara terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa keputusan dan bukannya mengikut citarasa sesetengah golongan.

Beliau berkata, Pas berpendapat kerajaan sebenarnya sebelum ini telah membuat kerja tidak mengikut peraturan dan melakukan penipuan apabila tidak memberi taklimat secara telus kepada Yang di-Pertuan Agong mengenai hasrat menyertai Statut Rom ICC.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Apabila Ahli Parlimen kemukakan soalan (dalam sidang Parlimen) kepada Menteri Luar, dia kata sudah beri taklimat kepada Yang di-Pertuan Agong yang memberi perkenan jadi kerajaan ratifikasikan Statut Rom.

“Tapi dua hari lalu kita difahamkan Yang di Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu secara tidak rasmi telah memanggil Peguam Negara dan Menteri Luar, dan akhirnya Agong dan Raja-raja Melayu mengesahkan tidak ada ‘consultation’, bahawa Agong tidak diberi taklimat mengenai cadangan untuk ratifikasi statut ini.

“Atas dasar itulah perkara ini dibawa dalam mesyuarat Kabinet semalam dan Perdana Menteri buat keputusan tarik balik sebab cara yang tidak kena,” katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Kota Bharu Kali Ke 52 di sini hari ini.

Mesyuarat itu telah dirasmikan oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin.

Semalam, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan keputusan Malaysia menarik diri daripada Statut Rom ICC yang ditandatangani pada 4 Mac lalu setelah mengambil kira pandangan semua pihak.

Sementara itu, Takiyuddin berkata, barisan Ahli Parlimen pembangkang sebenarnya sudah bersedia untuk membahaskan usul di Parlimen supaya kerajaan PH menarik balik tindakan meratifikasi Statut Rom pada Isnin ini.

“Statut Rom memberi kesan besar, contoh Flipina bila Presidennya buat undang-undang perangi pengedar dan penagih dadah sampai tembak mati sekarang ICC mahu dakwa presiden negara itu sehingga menyebabkan Filipina menarik diri.

“Yang di-Pertuan Agong adalah ketua angkatan bersenjata dan ketua agama, begitu juga Raja-raja Melayu ketua agama, kalau di masa depan ICC mendapati undang-undang syariah bercanggah undang-undang antarabangsa mungkin mereka akan dakwa Yang di-Pertuan Agong, kita tidak mahu ini berlaku kerana negara kita ada kedaulatan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini