GUA MUSANG – Seramai 11 penduduk Orang Asli mewakili setiap pos penempatan kaum itu di sini membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) hari ini selepas seorang pengguna laman sosial memuat naik kenyataan jelik menghina kaum mereka.
Penghinaan itu dibuat oleh seorang pemilik akaun Facebook dikenali sebagai Bismi Shah yang memberi komen dan membuat pelbagai kritikan tidak bermoral terhadap kaum Orang Asli sejak beberapa hari lalu.
Laporan polis itu diketuai Pengerusi Pembangunan Orang Asli Malaysia Cawangan Kelantan, Nasir Dollah kira-kira pukul 12 tengah hari tadi.
Nasir berkata, Orang Asli yang membuat laporan itu mewakili masyarakat Orang asli di Pos Balar, Pos Ber, Pos Tuel, Pos Bihai, Pos Simpor, Pos Tohoi, Pos Brooke, Pos Gob, Pos Pasik, Pos Pulat dan Kuala Betis.
Katanya, laporan polis itu dibuat selepas mereka berasa kecewa dengan sikap pemilik akaun terbabit yang menghina Orang Asli.
“Kita sebagai rakyat sama taraf bumiputera di negara ini tidak sepatutnya membuat penghinaan sebegitu rupa terhadap kaum lain.
“Kaum Orang Asli dilihat tidak dihormati sedangkan negara ini mempunyai rakyat berbilang kaum yang sepatutnya menghormati antara satu sama lain,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di sini hari ini.
Seorang wanita Orang Asli dari Kampung Lambok, Kuala Betis, Nora Kantin, 32, pula berkata, kaum Orang Asli mempunyai hati dan perasaan dan tidak dapat menerima penghinaan sedemikian.
“Kita meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas supaya menjadi pengajaran kepada semua pihak agar lebih bertanggungjawab dan tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan kemarahan kaum lain.
“Kami sebagai Orang Asal juga tidak mahu perkara yang menyakitkan hati kaum kami ini berulang,” katanya.
Pemilik akaun Bismi Shah sebelum ini memuat naik komen jelik terhadap kaum Orang Asli sehingga mendapat pelbagai reaksi di laman sosial. – K! ONLINE











