KUALA LUMPUR – Peneraju penyedia penyelesaian perniagaan korporat rantau Asia Pasifik, BoardRoom Ltd. (BoardRoom) menyasarkan lebih 25 peratus daripada keseluruhan perolehan bakal disumbangkan oleh operasi di Malaysia pada tahun ini khususnya selepas penggabungan dengan Kumpulan Symphony.
BoardRoom merupakan syarikat tersenarai di Papan Utama Bursa Singapura dan berpangkalan di sana.
Ketua Pegawai Eksekutif BoardRoom, Kim Teo berkata, Malaysia pada tahun lalu mencatatkan sumbangan antara 11 hingga 12 peratus daripada keseluruhan perolehan sebanyak $91.6 juta dolar Singapura (RM373.7 juta) yang direkodkan oleh kumpulan tersebut.
“Bagi mencapai unjuran berkenaan, kami berusaha untuk mempertingkatkan pembangunan pasukan perniagaan, jualan dan penglibatan pelanggan selain penambahan peralatan perkhidmatan yang boleh digunakan untuk memacu perniagaan pelanggan.
“BoardRoom optimis terhadap pasaran di sini, malah Malaysia dilihat sebagai salah satu pasaran modal yang signifikan dengan memiliki potensi pengembangan besar ditambah dengan beberapa perubahan terhadap landskap politik dan korporat yang semakin baik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis makan tengah hari di Hotel W Kuala Lumpur, Jalan Ampang di sini semalam.
Turut hadir Pengarah BoardRoom Malaysia Holding Company, Datuk Abdul Hamid Sheikh Mohamed dan Ketua Pegawai Eksekutif BoardRoom Malaysia Sdn. Bhd., Samantha Tai.
BoardRoom semalam menjenamakan semula empat anak syarikat bersepadu menerusi gabungan yang dimuktamadkan dengan Kumpulan Symphony pada 1 Februari lalu.
Sementara itu, menurut Samantha, pihaknya menyasarkan untuk mencatatkan pertumbuhan dua digit pada tahun ini khususnya dalam memberi tumpuan terhadap perkhidmatan pelanggan menerusi penyelesaian teknologi dan berinovasi.
“Kami berharap dapat memanfaatkan sepenuhnya teknologi dalam memberi kecekapan dan keberkesanan dalam produk dan perkhidmatan yang diperkenalkan kepada para pelanggan.
“Malah, banyak syarikat kini menggunakan khidmat luaran khususnya berkaitan senarai gaji.
“Justeru, kami berharap dapat mengambil peluang terhadap segmen berkenaan dalam menawarkan perkhidmatan terbaik kepada para pelanggan,” jelasnya.
BoardRoom mempunyai lebih daripada 7,300 pelanggan global, yang mana 30 hingga 35 peratus daripadanya adalah syarikat Malaysia.
BoardRoom kini berada di pasaran Singapura, Australia, Hong Kong, China dan Malaysia dengan 20 rakan kerjasama di seluruh negara.











