Nurul Azurin ‘pecah tembok’ pemain wanita? - Utusan Malaysia

Nurul Azurin ‘pecah tembok’ pemain wanita?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 13 April – Malaysia pernah menghantar beberapa pemain bola sepak beraksi di Jepun, namun tidak pernah dalam sejarah mempunyai pemain wanita yang mampu pergi ke tahap itu.

Begitupun, semuanya mungkin berubah dan Nurul Azurin Mazlan berpotensi menjadi pemain wanita pertama menimba ilmu di negara Matahari Terbit itu jika namanya diterima Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA).

Nurul Azurin, 19, bersedia memecah ‘tembok’ halangan apabila namanya antara pemain yang dicadangkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk berguru di Jepun selepas menunjukkan prestasi hebat sebagai penjaga gol kebangsaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita sudah tandatangan Mou (memorandum persefahaman) minggu lalu dan surat pertama kerjasama dengan Jepun sudah keluar yang mana FAM telah mengenal pasti nama-nama pemain daripada NFDP (Program Pembangunan Bola Sepak Negara) dan juga penjaga gol wanita negara, Nurul Azurin untuk dapat percubaan atau latihan pusat di Jepun.

“Pihak pengurusan JFA sedang meneliti dan akan membalas surat itu dalam masa terdekat. Kita akan membuat susulan dengan pihak mereka mengenai perkara tersebut.

“Kita telah beri enam nama pemain dengan lingkungan pemain berusia 19 tahun ke bawah. Saya harap pihak JFA boleh mengenalpasti program terbaik di akademi atau kelab-kelab tertentu untuk menempatkan mereka,” kata Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam kepada Utusan Online.

Sebelum ini, penyerang bawah 19 tahun negara, Luqman Hakim menjadi sebutan ketika mempamer prestasi cemerlang dalam kejohanan Piala Sanix di Fukuoka sehingga menarik minat lima kelab mengintai khidmatnya.

Aksi cemerlang Nurul Azurin juga membolehkannya muncul Pemain Terbaik Wanita dalam Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2018. – – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini