SHAH ALAM 4 April – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Selangor hari ini mempunyai Pengarah baharu, Norazam Khamis berkuatkuasa 15 Mac lalu.
Norazam yang dahulu merupakan Pengarah JBPM Negeri Sembilan menggantikan Azmi Osman yang kini memegang jawatan Pengarah JBPM Perak.
Jelas Norazam, pihaknya berharap dapat berganding bahu dalam memastikan amanah dan tanggungjawab yang diberikan dapat dilaksanakan dengan penuh integriti selain mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan.
“Saya ingin mengingatkan kepada semua sentiasa menjaga dan memelihara imej dan nama baik jabatan.
“Malah, berharap semua pegawai dan anggota dapat mengelakkan unsur negatif yang boleh menjatuhkan imej dengan terlibat rasuah, peras ugut dan penyalahgunaan media sosial,” katanya ketika berucap dalam majlis Perhimpunan Bulanan di sini hari ini.
Turut hadir ke majlis tersebut, Timbalan Pengarah baharu, Wan Md Razali Wan Ismail daripada Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Putrajaya menggantikan Hassan As’ari Omar. – UTUSAN ONLINE











