Ning dan harimau... - Utusan Malaysia

Ning dan harimau…

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NING BAIZURA siapa yang tidak kenal, namun mengapa dia terkait dengan harimau, garangkah dia? Sebenarnya penyanyi bersuara soprano itu bukanlah garang seperti harimau sehingga boleh dikaitkan dengan haiwan ikonik negara tersebut.

Sebaliknya, ‘aura’ Ning, 44, diperlukan dalam sebahagian usaha untuk menyelamatkan pak belang di negara ini. Masakan tidak, sehingga hari ini Harimau Malaya (Panthera tigris jacksoni) di habitat liar tinggal sekitar 200 ekor (jangkaan menerusi kajian awal) sahaja.

Bilangan itu dikatakan bukanlah tepat mungkin kurang kerana sehingga kini kajian masih belum selesai. Apa pun jangkaan bilangannya, catatan bilangan harimau belang yang tidak melebihi 200 itu merupakan satu petunjuk bahawa haiwan berkenaan benar-benar terancam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagi menyedarkan masyarakat terhadap perkara itu, Ning tampil mengadakan konsert Ning Baizura Live At Zoo Negara bagi mengutip dana membantu program konservasi harimau belang dengan kerjasama Perikatan Pemuliharaan Harimau Malaysia atau Citizens Action for Tigers (MyCAT).

Agak pelik juga awalnya, mengapa Ning? Persoalan itu terjawab apabila tuan punya badan sendiri sebenarnya merupakan pencinta haiwan. Hampir 17 tahun Ning terlibat dengan pelbagai program sukarelawan berkaitan haiwan liar terutama di Zoo Negara.

Apabila dia mendapat tahu populasi harimau yang kian merudum, sesuatu harus dilakukan. Bagi dirinya yang telah sebati dengan bidang nyanyian, apa yang boleh dilakukan adalah dengan mengadakan sebuah konsert khas.

“Saya sebenarnya telah lama merancang untuk membuat persembahan yang ada kaitan dengan alam sekitar kerana minat saya terhadap haiwan. Kini hasrat itu tercapai di sam­ping menyedarkan masyarakat tentang kepentingan usaha pemuliharaan dan pemeliharaan hidupan liar.

“Kalau kita masih tidak sedar dengan situasi ini (kepupusan harimau), kasihan pada generasi akan datang kerana mereka mungkin hanya dapat mengenali Harimau Malaya melalui gambar saja kerana sudah pupus,” katanya.

Jelasnya, konsert Ning Baizura Live At Zoo Negara yang akan diadakan pada 20 April itu merupakan yang pertama kali dianjurkan, malah pihak Zoo Negara turut menyediakan kawasan khas untuk tujuan tersebut.

“Tiket dijual pada kadar harga RM175 untuk dewasa dan RM100 untuk kanak-kanak sementara pakej sekeluarga (ibu, bapa dan dua anak) adalah sekitar RM505 menerusi www.airasiaredtix.com, 10 % daripada jualan tiket ini akan disumbangkan kepada MYCAT untuk tujuan konservasi harimau kita,” katanya.

Semangat Ning itu patut diambil oleh sebahagian besar daripada masyarakat negara ini, bukan mahu mengangkat diri penyanyi tersebut tetapi cuma ingin dinyatakan di sini sebenarnya masih ramai yang peduli akan nasib hidupan liar di negara ini, jadi apa peranan kita?

Menteri Tanah dan Sumber Asli, Dr. Xavier Jayakumar pada majlis sambutan Hari Hidupan Liar dan pra Pelancaran Kempen Selamatkan Harimau Malaya 2019-2020 bulan lalu menyatakan bahawa jika tiada pendekatan pemuliharaan ke atas haiwan itu secepat mungkin, besar kemungkinan ia akan pupus terus menjelang 10 lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini