KUALA LUMPUR 11 April – Sektor pembuatan negara tumbuh sebanyak 5.5 peratus pada Februari tahun ini dengan mencatatkan nilai jualan sebanyak RM65.8 bilion berbanding RM62.3 bilion tahun lalu.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, nilai jualan jatuh 9.3 peratus (RM6.7 bilion) bagi pertumbuhan bulan ke bulan manakala bagi terma pelarasan bermusim, nilai jualan turun 2.4 peratus.
“Peningkatan tersebut didorong oleh pertumbuhan yang dicatatkan dalam produk kelengkapan pengangkutan dan produk pembuatan lain (9.1 peratus), produk peralatan elektrik dan elektronik (E&E) (5.7 peratus) dan produk petroleum, kimia, getah dan plastik (4.8 peratus),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Mohd. Uzir, jumlah pekerja yang terlibat dalam sektor pembuatan pada Februari banyak 1,087,120 orang, meningkat dua peratus atau 21,271 orang berbanding 1,065,849 orang pada Februari 2018.
Katanya, gaji dan upah dibayar berjumlah RM4.03 bilion, naik 7.2 peratus atau RM269.8 juta pada Februari 2019 berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Nilai jualan setiap pekerja meningkat 3.4 peratus kepada RM60,487 berbanding bulan sama 2018 manakala purata gaji dan upah setiap pekerja sebanyak RM3,706 pada Februari 2019,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











