JAKARTA 3 April – Selepas 10 hari kempen terbuka pilihan raya Presiden (Pilpres) berlangsung sejak 24 Mac lalu, Joko Widodo atau Jokowi dan pesaingnya, Prabowo Subianto telah membawa sejumlah dasar yang jauh berbeza kepada masyarakat.
Keduanya membawakan naratif tersendiri, sarat dengan kekuatan masing-masing untuk meraih tempat di hati rakyat.
Namun, Pengarah Eksekutif Voxpol Center, Pangi Syarwi Chaniago menyifatkan naratif kempen kedua-dua calon masih ‘cetek’ kerana tidak mengetengahkan secara mendalam dan gagal menjawab persoalan rakyat.
Menurutnya, kelemahan tersebut menjadi faktor jumlah pengundi atas pagar tidak berkurangan.
“Rakyat masih tidak yakin dengan janji yang disajikan,” jelasnya seperti dilaporkan akhbar Tempo.
Pengarah Eksekutif Parameter Politik Indonesia, Adi Prayitno pula berpendapat, retorik politik yang dimainkan kedua-dua pemimpin itu mempunyai kekuatan yang setara.
Jelasnya, Jokowi secara konsisten menyentuh tentang kejayaan pemerintahannya dalam membangunkan bangsa sedangkan Prabowo berterusan mengangkat kegagalan pemerintahan Jokowi sebagai modal kempen.
“Jokowi ‘mendendangkan’ usahanya memperbaiki infrastruktur termasuk pengenalan Kad Indonesia Pintar dan Kad Indonesia Sihat untuk meraih perhatian pengundi.
“Jika majoriti rakyat bersetuju dan merasai program-program tersebut, Jokowi akan dipilih sekali lagi,” jelasnya.
Beliau memberitahu, Prabowo pula mendedahkan kelemahan kepimpinan Jokowi seperti kemiskinan, pengangguran, peningkatan harga makanan, kejatuhan nilai rupiah dan peningkatan hutang negara.
“Prabowo yang menjanjikan perubahan berpeluang untuk menang jika rakyat merasakan hidup mereka semakin susah dengan kelemahan ekonomi negara,” katanya.











