SAUDARA PENGARANG,
AHAD lalu, dua lelaki dipercayai warga Myanmar maut selepas dirempuh komuter ketika melintas laluan tren itu di Kilometer 371.7 Sungai Buloh-Kepong. Tahun lalu sahaja, seramai 17 mangsa maut dilanggar tren di pelbagai lokasi di sepanjang 1,655 kilometer jajaran kereta api Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
Perkhidmatan tren semakin efisien dan laju. Hari ini, KTMB beroperasi di seluruh Semenanjung, membawa bersamanya sejumlah 108,352 penumpang sehari atau 3.29 juta orang sebulan.
Selain penumpang, syarikat itu turut menjadi penggerak kepada hampir 500,000 tan muatan sebulan atau 5.8 juta tan kargo setahun. Dengan jumlah penumpang menghampiri 40 juta setahun itu, tidak dinafikan peneraju operasi kereta api nasional itu memikul tanggungjawab yang berat.
Ia tidak hanya bagi memastikan semua pengguna dan muatannya bergerak mengikut jadual tetapi juga tiba di destinasi dengan selamat.
Selain 17 mangsa rempuhan tren sepanjang tahun lepas, turut direkodkan 53 kes pelanggaran binatang ternakan, 86 kecurian peralatan dan kabel serta 14 lagi kejadian membaling batu ke arah kereta api.
KTMB merekodkan kerugian berjumlah hampir RM200,000 bagi menggantikan peralatan yang dicuri dan kerja-kerja baik pulih aset.
Pelbagai langkah proaktif telah diambil KTMB bagi mengurangkan kes-kes tersebut termasuk kempen sepanjang tahun untuk mendidik para pengguna tentang aspek-aspek keselamatan. Turut diadakan, penetapan dan kemas kini papan-papan tanda amaran bahaya dan penggunaan CCTV.
Kawalan Unit Polis Bantuan KTMB turut dipertingkat dan sehingga Disember tahun lepas, seramai 170 orang berjaya ditangkap unit itu atas pelbagai kesalahan termasuk pencerobohan kawasan landasan.
Perjalanan kereta api yang tidak dijadualkan seperti tren bantuan operasi, jentera perekod landasan (track recording car) serta tren sewa khas turut mempunyai bahaya tersendiri.
Selain itu, pembinaan landasan berkembar elektrik di antara Padang Besar dan kini diteruskan sehingga ke Johor Bahru, ditenagakan oleh bekalan tenaga elektrik sehingga 25,000 kilovolt (kV) dan ia berpotensi terkena renjatan elektrik sekiranya langkah keselamatan tidak dipatuhi.
Seksyen 128, Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 memperuntukkan denda tidak lebih RM1,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga bulan atau kedua-keduanya sekali bagi kesalahan merosak pagar premis kereta api untuk melintas landasan.
Manakala denda sebanyak RM500 pula bagi kesalahan melintas landasan selain denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan merosakkan harta benda kereta api.
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT KTMB











