KUALA LUMPUR 10 April – Sebanyak 99 kes denggi dicatatkan di kawasan Kampung Tengah, Puchong dekat sini sejak Januari hingga 7 April lalu sekali gus menjadikannya lokasi denggi tertinggi yang diterima Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).
Sehubungan itu, MPSJ dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mengadakan Program Gotong-royong Perdana Basmi Denggi KPKT dan MPSJ pada Ahad ini.
Timbalan Pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik MPSJ, Azfarizal Abdul Rashid berkata, pelbagai aktiviti akan diadakan antaranya senam robik, pertandingan mewarna, gotong-royong, pameran kesihatan dan sebagainya.
“Kami berharap penduduk di kawasan tersebut akan sama-sama turun padang seawal pukul 7 pagi bagi menjayakan program ini selain memberi kebenaran kepada pihak berkuasa tempatan untuk memasuki rumah bagi tujuan pemeriksaan.
“Sebarang pertanyaan mengenai program ini boleh dibuat melalui Jabatan Kesihatan MPSJ di talian 03-80221231 atau layari laman web www.mpsj.gov.my,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










