KUALA LUMPUR 1 April – Pemain No.1 dunia yang juga juara dunia dari Jepun, Kento Momota mengakui sangat sedih dan kecewa kerana tidak berpeluang untuk beraksi menentang jaguh negara, Datuk Lee Chong Wei di kejohanan badminton Terbuka Malaysia yang akan berlangsung di Axiata Arena, di sini bermula esok.
Pemain berusia 25 tahun itu muncul naib juara edisi lalu selepas tewas di pentas final kepada pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu di pentas final.
Kejohanan bertaraf Siri Jelajah Dunia Super 750 edisi kali ini menyaksikan Chong Wei mengambil keputusan menarik diri selepas mendapat nasihat doktor untuk terus menjalani proses pemulihan selepas menjalani rawatan kanser hidung yang dialaminya sebelum ini.
Momota mengakui, dia berhasrat untuk menjadi juara di Terbuka Malaysia dan pada ketika ini dia berada pada tahap terbaik terutama selepas menjadi juara di Terbuka Jerman dan All England, bulan lalu.
“Memang saya agak sedih dan kecewa kerana Chong Wei tidak akan beraksi kali ini tetapi saya tetap dengan matlamat saya untuk menjadi juara di sini.
“Walaupun Chong Wei tidak beraksi kali ini tetapi saya akan cuba menghiburkan peminat badminton di sini,” katanya ketika ditemui selepas sesi percubaan gelanggang di sini hari ini.
Sementara itu, Momota percaya, Chong Wei akan kembali beraksi secara konsisten dan tidak menolak kemungkinan bekas pemain No.1 dunia itu akan beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 2020.
“Sebelum ini Chong Wei berdepan dengan pelbagai masalah dan dia berjaya menghadapinya dengan baik.
“Saya juga percaya dia akan kembali dan mampu untuk beraksi di Tokyo 2020,” katanya.- UTUSAN ONLINE











