Minyak bawa padah pada Iran - Utusan Malaysia

Minyak bawa padah pada Iran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUATU ketika kira-kira menjelang tahun 60-an, dua orang isteri ketua negara yang dianggap paling cantik ialah Jacquelin Kennedy, isteri Presiden Amerika Syarikat (AS), John Kennedy, dan Farah Diba, permaisuri Shah Iran.

Antara mereka, Farah lebih kuat tarikannya. Manakan tidak, sebelum dia bernikah dengan Shah pada 1959, dunia terkejut Shah pada 1958 menceraikan permaisurinya Soraya yang amat dikasihi kerana kecewa gagal melahir putera pengganti Shah.

Soraya secantik bintang filem Hindustan pujaan ramai, Madhubala, yang diminati wanita dan dighairahi jejaka Malaya zaman itu. Jelas sekali penungguan ketibaan putera mahkota begitu lama terbukti hampa.

Memuatkan artikel berkaitan…

Farah menggantikan Soraya dengan harapan akan lahirlah seorang putera. Farah ketika itu sedang menuntut di Paris. Pernikahan mereka menjadi berita utama dunia.

Waktu itu saya masih belajar di peringkat menengah. Ada seorang rakan sekolah melihat seorang murid perempuan iras Farah, justeru itu dia sangat menggilainya.

Kegilaan itu hanya hilang begitu saja sebab masing-masing membawa diri selepas tamat bersekolah di Tingkatan Lima.

Takhta Iran ialah takhta panas, apalagi ia adalah takhta baru, bermula pada tahun 1921 apabila seorang pegawai askar, Reza Shah, dijadikan raja atau shah oleh pakatan British dan Amerika Syarikat (AS).

Dua puluh tahun kemudian, pada tahun 1941, Reza Shah diturunkan dan digantikan dengan anaknya, Mohammad Reza Pahlavi. Reza Shah diragukan British-AS kerana perlekeh mereka.

Perdana Menteri Iran, Mossaddeq, dibenci British-AS lalu diusahakan dengan pelbagai helah, antaranya merasuahkan jeneral-jeneral merampas kuasa. Beliau tersingkir pada 1953 dan Shah dibawa pulang dari buangan.

Itu adalah resipi dua kuasa Barat itu untuk mengongkong Iran demi memastikan bekalan minyak tidak akan terputus. Ketika di Iran, isteri saya berbual dengan seorang wanita Iran. Beliau merundung nasib Iran kerana diancam AS. “Semuanya ini kerana minyak,” katanya.

Sejak 1953 itu hingga 1979 apabila Ayatullah Khomeini memimpin revolusi menjatuhkan Shah, Iran terancam di dalam negara tetapi digemilangkan di luar negara yang diremang-remangkan di Washington, AS dan London, UK.

Polis rahsia Shah bernama Savak membunuh dan memenjarakan ratusan ribu rakyat yang dianggap anti.

Pada tahun 1978 saya berada di London. Kebetulan bola sepak Piala Dunia sedang berlangsung di Argentina. Iran bertanding di pesta sukan agung itu. Saya teruja melihat putera mahkota Iran, Reza Pahlavi, anak Farah, berusia 16 tahun, ditunjukkan di TV London bermain bola di Teheran.

Beliau diramalkan akan bermain untuk Iran apabila Piala Dunia diadakan lagi pada 1982. Beliau mendapat pujian kerana bermain sukan rakyat bersama rakyat, satu petanda sihat bagi seorang yang akan mendaki takhta suatu hari nanti. Itu fenomena abad ke 20.

Fenomena kuno ialah begini. Nama asal Iran ialah Farsi atau Persia menurut lidah Barat.

Iskandar Zulkairnain menjadi agung bertunjang pada kemampuannya mengalahkan Farsi 2,300 tahun dulu kerana membela serangan Raja Farsi Darius 200 tahun sebelumnya ke atas Macedonia, kemudiannya Yunani atau Greece, bumi watan Iskandar.

Dengan kata-kata lain, Farsi dan Yunani adalah dua kuasa besar dunia waktu itu.

Sebuah runtuhan mahligai yang saya kunjungi di Isfahan, Iran, menjadi saksi serangan dendam Iskandar. Besar dan indahnya mahligai itu dianggap bukan karya manusia tetapi sebuah ciptaan Tuhan.

Iran juga menjadi bahan geram Genghis Khan 900 tahun dulu. Beliau membunuh 20 daripada 30 juta orang Iran.

Hanya dalam abad ke-20 barulah Iran mempunyai penduduk sebanyak itu. Kini Iran berpenduduk 85 juta.

Cucu Genghis yang memerintah Iran memeluk agama Islam dengan nama Sultan Mamet. Saya memasuki istananya yang masih ada sampai sekarang.

Silingnya berbentuk bumbung khemah ditusuk tiang; banyak jumlahnya meliputi seluruh ruang. Khemah cerminan tempat tinggal orang Mongolia dari mana Mamet berasal.

Pada tahun 1974 Shah Iran merayakan besar-besaran 2,500 tahun sistem beraja sejak Raja Cyrus, tetapi takhta merak Shah itu hanya berusia 50 tahun.

Angkuhnya Shah hingga sanggup menggantikan Tahun Hijrah kepada Tahun Cyrus yang sudah 2,500 tahun. Baru-baru ini saya melihat satu interview TV BBC dengan Reza Pahlavi yang tinggal di AS.

Beliau berangan-angan hendak pulang dan naik takhta di Iran. Kini pada dasarnya Iran sudah menjadi kuasa nuklear.

Dengan persahabatannya dengan Rusia dan negara China, tentunya Israel dan AS kena berfikir panjang jika hendak serang Iran.

TAN SRI ADAM KADIR 
ialah bekas Ahli Kabinet dan Presiden Senat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini