JOHOR BAHRU 10 April – Tamadun Islam sememangnya mempunyai sejarah gemilang yang panjang bukan sahaja menyinari dunia Islam tetapi pernah menyumbang kepada kebangkitan peradaban dan kemajuan di barat sehingga ke hari ini.
Banyak artifak dan peninggalan berkaitan sumbangan Islam terhadap dunia masih boleh dilihat sehingga kini. Sejarah Islam adalah bersifat global dan tidak lain adalah bertitik-tolak daripada peranan dan amanah besar yang dimainkan Rasulullah SAW.
Justeru, penganjuran Festival Islam dan Halal Antarabangsa Johor 2019 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini amat bertepatan sekali dalam mengenang jasa dan pengorbanan Nabi Muhammad SAW.
Festival berkenaan yang dianjurkan selama empat hari dan melabuhkan tirainya pada 31 Mac lalu mendapat sambutan yang menggalakkan dari segi kehadiran pengunjung selain menjadi platform bagi pengeluar produk halal antarabangsa serta pembekal perkhidmatan daripada pelbagai sektor baik dari dalam mahu pun luar negara.
Bersempena dengan penganjuran festival yang pertama kali djayakan kerajaan negeri menerusi Perbadanan Usahawan Johor Sdn. Bhd. (PUJB) tersebut, turut diadakan adalah ruang Pameran Artifak Asli Rasulullah SAW dan para sahabat baginda yang diserbu pengunjung.
Dalam ruang pameran berkenaan, pengunjung dapat melihat sendiri artifak peninggalan Nabi Muhammad SAW seperti rambut, tongkat, busur panah, darah bekam, bekas tapak kaki dan tanah makam baginda.
Turut dipamerkan adalah senjata dan kelengkapan perang para sahabat, kunci makam Saidatina Fatimah, kunci pintu kaabah, kunci dan ibu makam Rasulullah SAW, kiswah pintu kaabah, batu dinding kaabah dan kain kiswah dalam kaabah.
Dalam pameran berkenaan, pengunjung berpeluang mendapatkan maklumat menarik berkaitan semua artifak yang dipamerkan antaranya sirah Rasulullah, peristiwa peperangan dalam sejarah Islam, gerakan penyebaran Islam serta maklumat tentang para sahabat.
Lebih menarik, sepanjang pameran berlangsung, dua peserta realiti televisyen Manhajj Mutawwif tampil memberi penerangan dengan lebih terperinci bagi membolehkan pengunjung mendapat kefahaman lebih jelas tentang artifak yang dipamerkan.
Menurut pengunjung, Nik Zawawi Nik Mat, 49, penganjuran pameran itu adalah satu langkah yang positif dalam memberi pendedahan serta menambah pengetahuan mereka tentang Islam dalam golongan muda termasuk pelajar sekolah.
“Ini merupakan satu usaha yang baik dalam menarik minat pengunjung lebih mengenali sejarah Rasulullah SAW serta Islam menerusi pameran artifak yang sarat dengan info berkaitan. Harap pameran ini dapat diteruskan pada masa akan datang dan lebih banyak artifak dipamerkan,” katanya.
Bagi Siti Sohair Sazali, 25, peluang menjejakkan kaki ke ruang pameran berkenaan dapat mendekatkan diri dengan baginda serta meningkatkan rasa cinta kepada Nabi Muhammad SAW.
“Saya merasa teruja dapat melihat sendiri artifak ini di depan mata. Hanya dengan melihat pameran ini dapat meningkatkan rasa cinta dan merasa dekat dengan Rasulullah SAW,” katanya.
Dalam pada itu, Nurul Syahirah Ibrahim, 21, berkata, pengisian pameran berkenaan sedikit- sebanyak menerbitkan rasa rendah diri dan keinsafan dirinya untuk lebih mengenali Islam.









