Formulanya mudah. Walau sehebat mana produk anda sekalipun, kalau nama perniagaan anda sangat susah untuk diingati, tiada gunanya. Ini kerana tiada sesiapa yang akan ingat dan apabila ini berlaku mereka tidak kenal apatah lagi datang membeli.
Semua orang mempunyai seribu satu benda yang ada dalam kepala masing-masing, jadi amat sukar untuk mereka menyelit benda-benda baharu seperti nama perniagaan ke dalam ingatan.
Sebelum kita menjawab mengapa ia penting, mari kita lihat dahulu beberapa faktor yang anda perlu ambil tahu bagi mendapatkan nama perniagaan yang baik.
Suku kata yang mudah
Semakin kurang suku kata, lebih bagus. Contoh terbaik ialah jenama seperti Grab dan Coke yang mempunyai sebutan atau suku kata sekali sahaja. Mudah bukan? Biasanya mempunyai satu suku kata sebegini agak sukar kerana untuk mencari nama yang bagus biasanya mempunyai sekurang-kurangnya dua suku kata seperti Digi, Nike, Apple dan Facebook. Jenama terkenal dunia biasanya mempunyai dua sebutan. Ada juga yang mempunyai tiga sebutan seperti Amazon, Toyota atau AirAsia dan ia masih lagi mudah untuk diingati.
Ejaan yang mudah
Apabila anda dengar sahaja sesiapa menyebut tentang satu jenama contohnya Proton, akan jelas terpampang dalam fikiran tentang bagaimana ejaan jenama tadi. Setiap susunan huruf akan jelas ‘kelihatan’ dalam kotak fikiran anda. Ini sangat penting dalam membantu menguatkan lagi ingatan kepada jenama tersebut.
Mudah disebut
Bukan sahaja ejaannya mudah, tetapi ia juga perlu mudah untuk disebut dengan betul tanpa membuatkan lidah anda tergeliat.
Mudah diingati
Apabila ketiga-tiga faktor di atas diambil kira, iaitu mempunyai suku kata mudah, ejaan juga mudah dan mudah pula disebut, maka secara automatik ia akan menjadi mudah diingati.
Berbalik kepada nama. Dengan berbekalkan faktor-faktor tadi, pembentukan jenama yang kuat dapat dilakukan dengan mudah. Bagaimanapun, ia daripada aspek bagaimana?
Mampu kaitkan jenama dengan industri anda
Penjenamaan yang baik ialah apabila pengguna dapat mengaitkan sesuatu jenama itu dengan industri mereka atau dengan produk yang disediakan. Apabila anda terdengar sahaja Toyota, sudah pasti anda tahu yang mereka adalah pengeluar kenderaan sederhana mewah dan mewah dari Jepun. Apa yang anda perlu pastikan ialah nama yang bakal diberikan kepada perniagaan anda perlu sesuai dengan industri.
Mampu menarik perhatian pengguna di media sosial
Anda sendiri sedar dalam media sosial semua pengguna tidak mempunyai tempoh perhatian yang lama untuk melihat sesuatu. Mereka lebih gemar membuat tatalan demi tatalan sehingga berjumpa dengan kandungan yang hendak dilihat. Dengan mempunyai nama yang baik sebagai jenama perniagaan anda, mungkin ia mampu membuatkan pengguna berhenti untuk melihat apa yang ditulis dan dikongsi pada orang lain.
Mampu menarik kepercayaan pengguna
Bergantung dengan produk dan industri juga, nama yang baik dan sesuai mampu menarik perhatian dan kepercayaan orang ramai dengan lebih cepat dan kuat. Bayangkan anda akan mencetak kad perniagaan, dokumen-dokumen yang mempunyai nama dan logo perniagaan dalam beberapa ribu keping untuk digunakan nanti. Perkara pertama yang orang akan lihat ialah nama perniagaan. Sekiranya disediakan dengan kreatif dan tidak tergopoh-gapah, maka ia akan dilihat terserlah di mata mereka.
Saya mengambil masa sebulan untuk memberikan nama kepada majalah pemasaran saya yang diterbitkan secara digital. Pada mulanya, pelbagai nama disenaraikan tetapi satu pun tidak sesuai digunakan. Apa yang saya mahu ia cukup kuat untuk menarik kepercayaan orang melihatnya buat kali pertama.
Akhirnya saya memilih nama Marketing In Asia. Kini, walaupun kurang dari enam bulan berada di internet, kekuatannya amat terserlah bukan sahaja pada mata pembaca di seluruh Asia tetapi juga pada mata enjin pencarian Google.
Mampu mewujudkan budaya positif
Lihat sahaja bagaimana para pekerja jenama-jenama besar Malaysia seperti IKEA, AirAsia dan Grab yang berbangga dengan majikan mereka dan juga pekerjaan yang dilakukan di sana. Malah, mereka sering kelihatan memakai kemeja T yang jelas tertera mempunyai logo dan jenama pada bahagian hadapan mahupun belakang baju tersebut. Inspirasi, ini yang akan wujud apabila budaya positif dipupuk dan ia bermula dengan mempunyai nama perniagaan yang baik.











