RIYADH 23 April – Pihak Majlis Perbandaran Mekah sedang mempersiapkan pelbagai rancangan dan program sepanjang Ramadan yang bakal tiba tidak lama lagi.
Arab News melaporkan, agensi kerajaan itu turut menggerakkan semua jentera untuk melaksanakan rancangan Ramadan dengan menyediakan perkhidmatan terbaik kepada penduduk dan jemaah di Mekah.
Usaha itu termasuk penjagaan kebersihan awam, perkhidmatan pembuangan sampah yang efisien, kawalan serangga dan pemeriksaan susulan terhadap kedai berkaitan kesihatan awam.
Malah, pihak majlis itu juga melakukan pemeriksaan barangan makanan supaya menepati keperluan kesihatan.
Pegawai perbandaran, Mohammed Abdullah al-Quwaimi berkata, pihaknya telah mengguna pakai pelan pelaksanaan untuk menggiatkan usaha menggembleng tenaga jabatan pusat dan perbandaran mengikut tugas-tugas tertentu.
Jelasnya, sejumlah 11,825 petugas pembersihan dibekalkan dengan pelbagai peralatan bagi memastikan Mekah berada dalam keadaan baik.
Kerja-kerja pembersihan dan baik pulih turut melibatkan Makam Nabi Ibrahim berhampiran Kaabah.
Dalam perkembangan lain, pihak berkuasa Arab Saudi mengeluarkan amaran cuaca ketika ribut pasir besar-besaran melanda negara.
Angin berkelajuan 31 kilometer sejam membadai ibu kota ini menyebabkan gangguan lalu lintas akibat tahap penglihatan rendah.











