MB, Exco baharu tekad jadi Johor contoh, disegani - Utusan Malaysia

MB, Exco baharu tekad jadi Johor contoh, disegani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 30 April – Menteri Besar, Datuk Dr. Sahruddin Jamal bersama-sama barisan Exco kerajaan negeri yang baharu bertekad dan yakin untuk menggalas usaha menjadikan negeri ini lebih disegani dan diteladani.

Namun beliau berkata, tugas dan tanggunjawab itu bukan hanya ada pada bahu barisan kepemimpinan semata-mata tetapi memerlukan sokongan dan usaha yang jitu daripada semua pihak termasuk golongan pendidik iaitu guru-guru.

“Sehubungan itu, saya menyeru warga guru agar melipatgandakan usaha mendidik dan memajukan anak bangsa dalam menyediakan modal insan untuk menyahut cabaran ekonomi dan kemajuan kini yang sangat besar ini sebagai persiapan kita dan generasi pada masa hadapan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kerajaan Negeri Johor berharap guru dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab dalam usaha kemenjadian murid yang benar-benar berpengetahuan, berkemahiran, berketrampilan dan berkualiti dalam kepimpinan.

“Ini juga bagi menjadikan mereka mempunyai kriteria kebolehpasaran kerja mengikut standard antarabangsa yang akan memenuhi keperluan pekerjaan pada era Revolusi Industri 4.0 ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Johor 2019 di Dewan Cahaya Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kempas, di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani dan Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Azman Adnan.

Sahruddin berkata, dalam usaha pemecutan ekonomi negeri ini ada beberapa faktor yang akan menghambat kemajuannya ke arah negeri maju antaranya yang sangat penting ialah semangat kecintaan kepada ibu pertiwi.

“Guru merupakan salah sebuah penggerak utama dalam menyinari pertiwi ini membawa maksud jelas sekali gus menyeru semua rakyat supaya bebas merdeka menguruskan negerinya tanpa tunduk dengan pengaruh luar,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini