KUANTAN – Mayat mangsa kedua yang terjatuh ke dalam Sungai Pahang di Pekan semasa kejadian kelmarin telah ditemui oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat pada pukul 9.20 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Amran Sidek berkata, mayat Ng Boon Hong, 36, ditemui terapung berhampiran tebing Sungai Pahang dekat Kampung Pasir Panjang.
“Mayat pengurus pam pasir sungai yang berasal dari Kepong, Kuala Lumpur itu dijumpai di lokasi kira-kira 4 kilometer dari muara Sungai Pahang,” ujar beliau menerusi kenyataan hari ini.
Semalam, nelayan tempatan menjumpai mayat rakan mangsa, Chan Hoke Kei, 49, yang tersangkut pada pukat di lokasi kira-kira 60 meter dari lokasi dilaporkan hilang berhampiran Pulau Awang Mandur.
Semasa kejadian petang kelmarin, kedua-dua mangsa yang merakam gambar mesin pengepam pasir di Pulau Awang Mandur dilaporkan terjatuh ke dalam Sungai Pahang selepas bot dinaiki mereka terbalik.Tiga lelaki termasuk tekong bot sempat diselamatkan nelayan tempatan, namun kedua-dua mangsa dilaporkan hilang sebelum mayat mereka ditemui semalam dan hari ini. – K! ONLINE











