KUALA LUMPUR 26 April – Maxis Bhd. mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM409 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac, 2019 (Q1 2019), daripada RM2.23 bilion perolehan yang dicatatkan.
Pada suku sama tahun lepas, syarikat telekomunikasi itu mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM523 juta manakala perolehan berjumlah RM2.24 bilion.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Maxis berkata ia terus berkembang dan menerajui pasaran pasca bayar, dengan perolehan segmen itu berkembang 1.5 peratus kepada RM1 bilion daripada RM985 juta dalam Q1 2018, manakala pelanggan meningkat sebanyak 349,000 kepada 3.3 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif Maxis Gkhan Ogut berkata syarikat gembira dengan prestasi dan kemajuan pembangunan perkhidmatannya dalam suku itu.
“Kami mencatatkan prestasi stabil dalam Q1 yang merupakan pemulihan cepat daripada Q4 2018. Kami sudah mula menyampaikan apa yang dijangkakan, dan secara sistematik membina momentum dalam melaksanakan strategi pertumbuhan baharu kami.
‘’Jumlah yang melanggani perkhidmatan bersepadu, gentian dan enterpris kami amat kukuh, dengan hasilnya melebihi jangkaan kami,” katanya.
Perkara utama yang ditonjolkan pada suku itu termasuk pertumbuhan data kukuh dan penggunaan, dengan purata penggunaan data gabungan lebih tinggi pada 11.7GB sebulan iaitu 7.1 peratus lebih tinggi daripada suku sebelumnya.
Maxis turut menandatangani memorandum persefahaman dengan Huawei bagi program pemecutan 5G dan bermula dengan ujian pertama 5G secara langsung dalam negara, merekodkan kelajuan muat turun hampir 3Gbps menerusi ujian alat pengguna. – BERNAMA










